Jangan menghina barang yang kecil kerana jarum yang kecil itu kadang-kadang menumpahkan darah.
Jiwa yang tidak membaca Al-Quran umpama telefon bimbit yang kehabisan bateri. Betapa canggih sekalipun fungsinya dan betapa mahal sekalipun harganya, ia tetap tidak berguna jika kehabisan bateri. Begitulah jiwa yang mati, betapa segak, cantik, bertenaga dan anggun sekalipun jasad luaran seseorang, tanpa Al-Quran segalanya tidak bermakna.

05 September, 2009

Syeikh Sayyid Muhammad Alawi Al-Maliki Al-Makki dalam kenangan


Daripada Abu Darda رضي الله عنه katanya: Aku mendengar Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda (maksudnya): Para ulama itu adalah pewaris Nabi. Sesungguhnya Nabi tidak mewariskan wang dinar dan tidak juga wang dirham, tetapi mereka mewariskan ilmu. Sesiapa yang mengambil ilmu maka dia telah mengambil habuannya yang amat bernilai. Oleh itu matinya seorang yang alim adalah satu musibah yang sukar digantikan dan satu kepincangan yang susah ditutupi. Ini adalah umpama bintang yang hilang sirna (diantara bintang-bintang). Sesungguhnya matinya satu kabilah adalah lebih ringan musibahnya berbanding matinya seorang yang alim ( Hadits riwayat Abu Daud, at-Tirmidhi, Ibn Majah dan al-Baihaqi)


Di dalam sebuah hadits yang lain riwayat daripada Abdullah bin ‘Amr bin Ash رضي الله عنهما:

Sesungguhnya Allah tidaklah mencabut ilmu dengan (menghilangkan) akan ilmu itu dengan sekaligus dari (dada) hamba-hambaNya. Tetapi Allah Ta’ala menghilangkan ilmu itu dengan mematikan alim-ulama sehingga apabila tidak tertinggal satu orang alimpun, manusia akan menjadikan pemimpin-pemimpin dari orang-orang yang bodoh, maka tatkala mereka ditanya (tentang masalah agama), lalu mereka akan berfatwa tanpa ilmu, akhirnya mereka sesat dan menyesatkan. (Hadits riwayat al-Bukhari, Muslim, at-Tirmidhi dan Ibn Majah)


Pada waktu sahur sekitar jam 4.30pagi (waktu Makkah) hari Jum’at 15 Ramadhan 1425H bersamaan 29 Oktober 2004M umat Islam diseluruh dunia dikejutkan dengan berita kewafatannya. Beliau wafat setelah lebih kurang 2 jam setengah menamatkan kuliah terakhirnya bersama lebih daripada 600 orang muridnya. Seluruh masyarakat dunia yang mengenali beliau diselubungi rasa sedih yang mencengkam, menangisi pemergian beliau untuk selamanya. Dunia Islam kehilangan seorang ulama besar yang gigih menegakkan dan mempertahankan golongan ahli sunnah wal jamaah yang diwarisi dari zaman Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم, ulama yang tidak mengenal letih dalam mendidik, mentarbiah, menyebarkan ilmu, berdakwah, sebagainya. Ulama yang kuat mempertahankan prinsip walaupun pelbagai tekanan diberikan kepadanya oleh golongan yang memusuhinya. Ulama yang mampu mematahkan segala hujjah mereka yang menentangnya. Kewafatan suatu kehilangan yang amat besar bagi dunia Islam.


Jenazahnya pertama kali disolatkan di rumahnya di Rushaifah, diimamkan oleh adindanya Sayyid Abbas. Kemudian dibawa ke Masjidil Haram dengan iringan hampir 200 ribu pencintanya, dan disolatkan di hadapan Ka’bah oleh ribuan manusia dengan diimamkan oleh Imam Subayl.


Kemudian jenazahnya diiringi oleh ribuan manusia ke tanah perkuburan Ma’ala untuk upacara pemakaman, dengan laungan tahlil dan takbir. Laluan-laluan ke perkuburan Ma’ala ditutup kepada kenderaan kerana dibanjiri oleh manusia. Dikatakan hampir 500 orang tentera dikerah untuk mengawal ribuan manusia yang mengiringi jenazahnya ke perkuburan Ma’ala. Jenazahnya disemadikan di sebelah pusara ayahandanya. Manakala di seluruh pelusuk dunia pula, umat Islam tidak putus-putus mengadakan solat jenazah ghaib untuk beliau ….. bermakna jutaan kaum muslimin yang mensolatkannya. Allahu Allah. Kemuliaan yang Allah berikan kepada ulama yang berjasa ini.

Dikhabarkan bahawa sebelum meninggal dunia, beliau ada menghubungi seorang pelajar lamanya di Indonesia melalui telefon dan bertanya adakah dia akan datang ke Makkah pada bulan Ramadhan ini. Apabila muridnya menjawab ‘tidak’, Sayyid Muhammad berkata: “Tidakkah engkau mahu menghadiri pengebumianku?” Allahu Allah.



Kini sudah 5 tahun beliau
رضي الله عنه meninggalkan kita. Walaupun jasadnya tiada bersama, namun beliau hidup di hati kita. Beliau رضي الله عنه sentiasa berbicara dengan kita melalui kitab-kitab yang ditinggalkan. Tarbiahnya berjalan melalui segala adzkar dan ahzab yang beliau ijazahkan. Itulah dia al-Habib as-Sayyid Muhammad al-Hasan bin Sayyid ‘Alawi bin Sayyid ‘Abbas bin Sayyid ‘Abdul ‘Aziz bin Sayyid ‘Abbas bin Sayyid ‘Abdul ‘Aziz bin Sayyid Muhammad al-Maliki bin Sayyid Abdul ‘Azizi al-al-Maliki al-Makki al-Hasani al-Idrisi رضي الله عنهم



Maka sebagai memperingati hari hol beliau رضي الله عنه, maka ingin aku menulis sedikit mengenai beliau رضي الله عنه. Walaupun aku hanya sekadar pernah menatap wajahnya dalam masa yang singkat namun, dengan pertalian sanad ilmu dengannya, bersuhbah dan mengikuti majlis pengajian mereka yang pernah bersamanya atau yang pernah dididik beliau, membaca dan mempelajari kitab karangan beliau, sudah cukup untuk aku mengenali, mengingati, menyayangi dan merinduinya. Oleh itu, ingin aku kongsikan di sini, beberapa pesanan dan wasiat beliau secara terpilih dan ringkas. Moga-moga ianya dapat mengingatkan kembali aku khususnya dan pengunjung al-Fanshuri umumnya kepada pesanan atau wasiat, ulama besar yang merupakan guru kita yang mulia ini. Wasiat atau pesanan ini tercatat dalam kitab al-Iqd al-Farid al-Mukhtashar minal Atsbat wal Asanid karangannya.


Diantara wasiat beliau رضي الله عنه:

  • aku mewasiatkan orang yang telah aku ijazahkan dan diriku supaya sentiasa bertaqwa kepada Allah, membetulkan niat menuntut ilmu dengan ikhlas dan jujur kerana menuntut keredhaan Allah semata-mata
  • aku mewasiatkan juga supaya bersungguh-sungguh menuntut ilmu
  • aku mewasiatkan supaya menjadikan al-Quran sebagai wirid, bertafakkur tentang kandungan ayat-ayatnya sesempurna yang mungkin dan mendalami mutiara-mutiara maknanya untuk mengeluarkan daripada perbendaharaan dan permatanya sesuatu yang melapangkan dadamu, menambahkan lagi keyaqinan dan agamamu, menghadirkan kebesaran pemiliknya (Allah)
  • aku juga mewasiatkan supaya menjadikan bacaan kitab-kitab sufi sebagai wirid. Maka perkemaskan renangan kamu di dalamnya. Jadikan ia sebagai sahabat dan teman mesra pada waktu pagi dan petang dan pegangan kamu pada semua keadaan. Taklifkan diri kamu untuk beramal dengan isi kandungannya dan meninggalkan perkara-perkara yang ditegahnya.
  • aku juga mewasiatkan kepada kamu supaya berakhlaq baik terhadap semua manusia ….. jadilah kamu manusia yang paling lemah lembut dan bersopan santun, memaafkan orang yang menzalimi kamu, memberi kepada orang yang memutuskan hubungan dengan kamu dan membalas orang yang melakukan kejahatan terhadap kamu dengan kebaikan. Maafkan kesalahannya terhadap kamu sekalipun kesalahannya itu besar. Kasihilah orang-orang faqir dan lemah, duduklah bersama orang-orang miskin dan hadiri semua majlis mereka tanpa merasakan bahawa kamu mempunyai kedudukan yang lebih tinggi daripada mereka, tetapi rasakanlah bahawa kamu merupakan orang yang paling hina di kalangan mereka.
  • aku juga mewasiatkan kamu dengan sifat wara’ kerana ia merupakan asas agama ini dan pegangan orang-orang yang matlamatnya untuk menuntut redha Allah
  • aku juga mewasiatkan supaya bersangka baik terhadap Allah dan sekalian kaum Muslimin kerana sifat tersebut mengandungi segala keuntungan
  • aku juga mewasiatkan supaya bersungguh-sungguh menyebarkan ilmu dan mengajar manusia …


Beliau رضي الله عنه mengakhiri wasiatnya dengan wasiat yang dikhabarkan oleh ayahanda beliau, al-Habib as-Sayyid ‘Alawi ibn Sayyid ‘Abbas al-Maliki daripada al-Habib ‘Alawi ibn Thohir al-Haddad, sebagaimana wasiat beliau kepada ayahandanya:

Hendaklah orang yang diijazahkan, menjadikan sebuah kitab tertentu sebagai rujukan dan peringatan terutama apabila sibuk berdakwah kepada Allah. Perkara pertama yang perlu dilazimi oleh orang yang ingin berdakwah selepas memahami hukum-hakam syariat ialah mengetahui segala janji baikNya bagi orang yang melakukan ketaatan dan janji burukNya bagi orang yang melakukan ma’siat yang terkandung di dalam al-Quran dan Hadith.
Maka kepadanya, hati-hati sentiasa berasa rindu dan di dalamnya terdapat cahaya iman. Untuk mengetahui semua perkara tersebut, memadailah dengan membaca kitab an-Nasho`ih ad- Diniyah wal Washoya al-Imaniyah (karangan al-Imam al-Habib Abdullah al-Hadddd). Sekalipun ia ringkas tetapi telah mengumpulkan perkara-perkara yang tidak dapat tidak, diperlukan oleh semua orang Islam.

Sekiranya hendak mengetahui toriqat yang khusus dan adab yang telah disyariatkan, hendaklah melazimkan membaca kitab ad-Dakwah at-Taammah wat Tazkirah al-‘Ammah (karangan al-Imam al-Habib Abdullah al-Hadddd). Jangan membaca dengan tujuan untuk mengambil berkat sebagaimana mereka katakan, tetapi berazam membacanya untuk mendapatkan kefahaman dan memberi kefahaman kepada orang lain. Maka keberkatan yang sebenar ialah apabila disertakan dengan amal. Berwaspadalah daripada menjadikan suatu kebiasaan hanya mengulang-ulang membaca permasalahan fiqh, siang dan malam, semasa tua dan muda tanpa membaca kitab agama yang lain seperti ilmu tafsir, hadith dan tasawuf. Dengan membataskan bacaan hanya kepada kitab-kitab fiqh adalah suatu kelemahan, kejumudan dan menjauhkan diri daripada akhlaq yang baik serta mewariskan kekerasan hati. Demikianlah telah diperkatakan oleh syaikh-syaikh kami dan lain-lainnya ………


…. Kemudian beliau berkata: “Apabila zaman telah menjadi zaman bid’ah, fitnah, kesamaran, maka hendaklah penuntut-penuntut ilmu mempersiapkan dirinya untuk menjadi salah seorang daripada orang-orang yang mempertahankan agama Allah dan menegakkan hujjahNya di atas muka bumi. Seseorang itu tidak akan mampu menjadi seperti itu, jika tidak mengambil setiap ilmu dengan secukupnya. Sesiapa yang memohon pertolongan Allah, maka Allah akan membantunya …….

Moga-moga dengan mengingati ulama besar ini, aku berharap beroleh syafaat darinya …..

أحب الصالحين ولست منهم
لعلي أن أنال بهم شفاعة

Aku mengasihi orang-orang yang solih, sedangkan aku bukan daripada mereka itu
mudah-mudahan (dengan rasa kasih ini) aku mendapat syafa'at mereka itu

*******************

اللهم انشرنفحات الرضوان عليه وإمدنا بالأسرار التي أودعتهالديه. اللهم صل وسلم على جده النبي الأمين سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين

Ya Allah! Sebarkanlah hembusan keredhaanMu keatasnya dan limpahkanlah, Ya Allah kepada kami segala rahsia yang Engkau simpan disisinya.

Ya Allah kurniakanlah rahmat dan kesejahteraan ke atas nendanya, Nabi al-Amin, penghulu kami Muhammad dan ke atas keluarga dan sahabat-sahabatnya sekalian.

الفاتحة إلى حضرة النبي صلى الله عليه وآله وسلم و الى روح سيدنا الحبيب محمد بن علوي المالكي الحسني



Mohd Syauqi copy dari:
http://gagasanulamaaswj.blogspot.com/2009/01/tokoh-sunnah-habib-muhammad-bin-sayyid.html


04 September, 2009

Sejarah Al-Quran


Bagaimana Al-Quran sampai kepada kita?

Rasulullah SAW telah dibangkitkan dalam sebuah umat yang ummi, iaitu golongan yang tidak tahu membaca, menulis dan mengira. Sebelum Muhammad diangkat menjadi Utusan Allah, bilangan dari golongan Arab yang tahu menulis sangat sedikit, antaranya ialah: Abu Bakar As-Siddiq, Umar bin Al-Khattab, Uthman bin Affan, Ali bin Abi Talib, Talhah bin Ubaidullah, Abu Sufyan bin Harb, serta anaknya Mu’awiyah, Abaan bin Sa’id, Al-‘Alaa’ bin Al-Hadhrami, dan Abdullah bin ‘Amru bin Al-‘As daripada penduduk kota Makkah. Manakala dari kalangan penduduk Madinah pula ialah ‘Amru bin Sa’id, Ubay bin Ka’ab, Zaid bin Thabit dan Al-Munzir bin Umar.

Selepas peristiwa Hijrah ke Madinah, Rasulullah SAW telah menggalak dan merangsang para sahabat agar mempelajari cara-cara menulis sehinggakan Baginda SAW telah menjadikan ianya sebagai penebus tawanan. Caranya ialah setiap seorang daripada tawanan Quraisy dalam perang Badar akan mengajar sepuluh orang kanak-kanak di Madinah. Oleh yang demikian telah ‘laku dan larislah pasar penulisan’ di dalam masyarakat Islam.


Penulisan Al-Quran dalam tempoh kenabian

Rasulullah SAW telah mengarahkan agar Al-Quran itu ditulis. Maka kesemua isi kandungan Al-Quran itu telah ditulis pada suhuf-suhuf (helaian kertas, kepingan kayu, pelepah kurma, kepingan kulit, tulang-tulang dan sebagainya). Allah SWT telah menjamin pemeliharaan Al-Quran dengan dua cara iaitu, hafazan manusia di dalam dada mereka dan penjagaannya di dalam tulisan. Allah SWT telah berfirman:

إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا الذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُ لَحَافِظُونَ

Mafhumnya: “Sesungguhnya Kami telah menurunkan Az-Zikr (Al-Quran), dan Kamilah juga yang akan menjaganya” (Al-Hijr: 9)

Pesuruh Allah ini juga telah menyeru para sahabatnya supaya menulis apa sahaja yang diturunkan daripada Al-Quran dengan segera. Mereka ini dinamakan sebagai كُتاب الوحي ‘penulis-penulis wahyu’. Para penulis ini terdiri daripada Abu Bakar As-Siddiq, Umar bin Al-Khattab, Uthman bin Affan, Ali bin Abi Talib, Mu’awiyah bin Abi Sufyan, Khalid bin Al-Walid, Ubay bin Ka’ab dan Zaid bin Thabit serta ramai lagi. Mereka semua menulis Al-Quran ini di hadapan Rasulullah SAW sehingga selesai penurunan Al-Quran. Akan tetapi pada waktu itu, tulisannya masih lagi terpisah-pisah dan belum digabung atau dihimpunkan.


Al-Quran dihimpunkan pada zaman Abu Bakar As-Siddiq

Dalam peperangan menghapuskan golongan yang murtad, ramai dari kalangan penghafaz Al-Quran yang gugur syahid. Hal ini menyebabkan Saidina Abu Bakar As-Siddiq telah mengambil tindakan untuk menghimpunkan semua tulisan Al-Quran kesan daripada cadangan Saidina Umar Al-Khattab. Abu Bakar telah memberi mandat kepada Zaid bin Thabit untuk bertanggungjawab menghimpunkannya dalam satu tempat sahaja. Perlantikan tersebut dibuat kerana kekerapan beliau menulis wahyu dan penyaksiannya tatkala turunnya ayat-ayat terakhir Al-Quran ketika hayat Nabi SAW. Beliau juga adalah seorang yang sangat pintar, wara’, adil, beramanah dan tidak pernah dicurigai pada pegangan agama serta perilaku dan akhlaknya. Zaid pernah berkata, “Demi Allah, sekiranya kamu menugaskan saya untuk memindahkan sebuah bukit, ianya tidaklah memberatkan saya berbanding apa yang diperintahkan ke atas saya sekarang ini iaitu menghimpunkan Al-Quran”.

Zaid telah memperhatikan dengan teliti penulisan suhuf-suhuf ini yang merangkumi kepastian bahawa ia adalah Al-Quran secara mutawaatir (mustahil berlaku penyelewengan), tetap kedudukannya ketika penurunan terakhir, dan tidak dinasakhkan (mansuh) bacaannya. Selain daripada itu, tulisan tersebut bukannya dari riwayat Aahad, ataupun berbentuk penerangan, takwilan mahupun hadith qudsi. Bahkan tulisan hendaklah tersusun dari segi surah dan ayat-ayatnya.

Suhuf-suhuf ini terus disimpan dan dijaga sepanjang tempoh Saidina Abu Bakar menjadi khalifah. Kemudian diteruskan oleh Saidina Umar Al-Khattab dan diikuti oleh Ummul Mukminin Hafsah binti Umar, sehinggalah akhirnya diminta untuk dijaga oleh Saidina Uthman bin Affan.


Al-Quran disalin dalam bentuk mushaf pada zaman Saidina Uthman

Pada tahun 25 Hijrah, seorang sahabat nabi yang bernama Huzaifah bin Al-Yaman telah menyertai peperangan bersama tentera Islam di Armenia dan Azrebaijan. Pada ketika itu, beliau telah melihat berlakunya banyak perselisihan dari kalangan umat Islam tentang cara bacaan Al-Quran. Lantas beliau meminta perhatian daripada Saidina Uthman dengan katanya, “Telah sampai masanya bagi umat ini (bertindak) sebelum mereka berselisihan sepertimana perselisihan orang Yahudi dan Nasrani”.

Lalu Saidina Uthman pun menghimpunkan sejumlah sahabat nabi yang terkemuka dan mempunyai pandangan yang bernas. Mereka bermesyuarat dan bersepakat untuk menyalin semula mushaf-mushaf itu, kemudian dihantar ke setiap bandar. Tujuannya adalah untuk dijadikan rujukan bagi mereka. Tugasan ini telah diserahkan kepada empat orang sahabat nabi yang tinggi kedudukannya dan beberapa orang yang boleh dipercayai. Mereka ialah Zaid bin Thabit dari Madinah. Seterusnya ialah Abdullah bin Az-Zubair, Sa’id bin Al-‘As dan Abd Rahman bin Al-Harith bin Hisyam dari orang-orang Quraisy.

Saidina Uthman telah menghantar utusan kepada Hafsah Ummul Mukminin untuk meminta beliau menyerahkan suhuf-suhuf Al-Quran yang ada padanya. Lalu suhuf-suhuf tersebut diserahkan kepada mereka. Setelah diambil, para utusan itu langsung tidak menulis apa-apa pun melainkan setelah dipersembahkan kepada para sahabat yang berada di Madinah. Mereka memastikan ia adalah Al-Quran yang sebenar, tidak dinasakhkan bacaannya dan tetap kedudukannya ketika penurunan terakhir. Lantas mereka pun menulis di dalam beberapa buah mushaf yang baru dan dihantar satu naskhah ke setiap bandar. Manakala tulisan-tulisan yang lain telah diarahkan agar dibakar demi memelihara keaslian Al-Quran.

Al-Mushaf Al-Imam (yang asal) adalah mushaf yang dijadikan panduan dan ikutan untuk penulisan mushaf-mushaf lain dengan arahan daripada Saidina Uthman. Salinan-salinan yang lain telah dihantar ke setiap bandar, sedangkan mushaf yang asal ada dalam simpanannya. Beliaulah yang telah menamakannya ‘Al-Mushaf Al-Imam’.

Kini sebutan yang paling masyhur di kalangan kita pula adalah Mushaf Resam Uthmani.

Nota kaki: Artikel ini pernah disiarkan di dalam Majalah Anugerah ke-4, sesi 2005-2006 yang diterbitkan oleh Biro Penerangan dan Penerbitan, Badan Kebajikan Penuntut Sabah Mesir.

27 August, 2009

Siapa yang dapat rukhsoh?

GOLONGAN YANG DIBERI RUKHSOH (KELONGGARAN) UNTUK BERBUKA (TIDAK BERPUASA) PADA BULAN RAMADHAN

Golongan yang mendapat rukhsoh berbuka puasa pada siang Ramadhan dan diwajibkan ke atas mereka membayar fidyah sahaja terdiri daripada:

- lelaki atau perempuan tua yang terlalu lemah dan sudah tidak berupaya untuk berpuasa.

- pesakit yang mengidap panyakit kronik dan tiada harapan untuk sembuh.

- pekerja-pekerja buruh kasar atau yang melakukan kerja-kerja berat serta berterusan yang mana mereka tidak lagi mendapati ada peluang pekerjaan lain. Malahan tidak boleh meminta cuti sama ada dalam bulan Ramadhan ataupun selain Ramadhan.

Golongan ini dibolehkan berbuka dan mereka hanya diwajibkan membayar fidyah berdasarkan bilangan hari yang mereka tinggalkan puasa dengan memberikan dua hidangan makanan yang mengenyangkan kepada orang miskin.

Kedua; Golongan yang diberikan rukhsoh berbuka puasa dan mereka wajib mengqadha’ (menggantikannya) sahaja. Mereka adalah:

- pesakit yang ada harapan untuk sembuh kembali.

- orang yang bermusafir bukan dengan tujuan maksiat.

- ibu yang mengandung dan yang menyusukan anak, serta khuatir mudarat mungkin akan berlaku terhadap dirinya sendiri. Manakala ibu yang khuatir mudarat itu akan berlaku terhadap anaknya, maka si ibu akan berbuka, mengqadha’ dan membayar fidyah makanan kepada orang miskin pada setiap hari yang dia tidak berpuasa itu.

- perempuan yang mengalami haid dan nifas.

Golongan yang diwajibkan mengqadha’ puasa dan dikenakan kifarat @ kaffaarah adalah mereka yang sengaja berbuka puasa / tidak berpuasa tanpa sebarang keuzuran pada siang Ramadhan dengan makan dan minum, ataupun suami yang melakukan jima’ @ bersetubuh dengan isterinya pada siang hari.

Kaffaarah ialah berpuasa selama dua bulan berturut-turut. Sekiranya tidak mampu, maka hendaklah memberi makan kepada 60 orang miskin dari jenis makanan yang sederhana yang biasa diberikan kepada keluarganya.

Kadar ukuran untuk mengambil rukhsoh ini bergantung kepada ukuran individu itu sendiri. Maknanya setiap orang tahu dan sedar sejauhmana kadar kemampuannya untuk meneruskan berpuasa ataupun keperluannya untuk berbuka sama ada wajib ataupun harus. Individu berkenaan seharusnya mendapatkan pandangan doktor mahupun pengamal perubatan yang beragama Islam dan boleh dipercayai tentang permasalahan ini. Ia mesti dilakukan sekiranya menghadapi mudarat tertentu terhadap diri dan mungkin menyebabkan kebinasaan.

Rujukan: الكلم الطيب فتاوى عصرية، لفضيلة الشيخ علي جمعة، مفتي الديار المصرية