Jangan menghina barang yang kecil kerana jarum yang kecil itu kadang-kadang menumpahkan darah.
Jiwa yang tidak membaca Al-Quran umpama telefon bimbit yang kehabisan bateri. Betapa canggih sekalipun fungsinya dan betapa mahal sekalipun harganya, ia tetap tidak berguna jika kehabisan bateri. Begitulah jiwa yang mati, betapa segak, cantik, bertenaga dan anggun sekalipun jasad luaran seseorang, tanpa Al-Quran segalanya tidak bermakna.

29 September, 2008

Hamba Allah yang soleh tapi mati sesat?





Semalam saya berkesempatan menghadiri Majlis Iftor Jama’ie (Berbuka puasa beramai-ramai) di Dataran Kompleks Malaysia, Hayyu ‘Asyir, Kaherah. Program tersebut dianjurkan oleh Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM). Kehadiran para mahasiswa dari pelbagai fakulti dan negeri pada ketika itu amat memberangsangkan.
Sementara menanti masuknya waktu maghrib, majlis telah dimulakan dengan acara berzikir beramai-ramai. Setelah selesai mendirikan solat maghrib secara berjemaah dan menikmati hidangan berbuka di dataran itu juga, agenda majlis diteruskan dengan ucapan daripada Presiden PMRAM iaitu Ustaz Khairul Anuar Ismail. Beliau telah mengingatkan para hadirin tentang Ramadhan yang semakin hampir dengan penghujungnya dan menyeru agar tidak mensia-siakan hari-hari yang masih berbaki ini, kerana khuatir sekiranya ini adalah Ramadhan yang terakhir dalam diari kehidupan kita.
Seterusnya para hadirin pun menunaikan solat fardhu isya’ dan solat sunat tarawih. Apa yang ingin saya kongsikan di sini ialah tentang sebahagian daripada isi penting tazkirah yang telah disampaikan oleh Ustaz Mohd Asri Daud iaitu salah seorang fellow Markaz Pengumpulan Kajian Hasilan Penyelidikan (MANHAL PMRAM) setelah empat rakaat solat tarawih yang pertama.
Ustaz Mohd Asri berjaya menarik perhatian hadirin apabila menceritakan tentang kisah seorang hamba Allah yang konsisten dalam amalannya iaitu dengan membaca Al Quran sepuluh juzu’ pada setiap hari. Sehinggalah pada suatu hari, tibalah ajalnya tatkala sedang membaca Al Quran. Cuma hal yang mengejutkan banyak pihak ialah apabila hamba Allah yang soleh tersebut telah menghembuskan nafasnya ketika selesai membaca firman Allah dari Surah Yaa siin ayat ke 23 yang berbunyi:
إني إذاً لفي ضلال مبين
Yang bermaksud: “Sesungguhnya aku pada ketika itu berada dalam kesesatan yang nyata”.
Sudah pasti keadaan ini membuatkan orang ramai tertanya-tanya, mengapakah dia mati apabila membaca ayat sebegini?
Tidak lama selepas peristiwa itu, ada seorang hamba Allah yang soleh yang lain pula telah bermimpi bertemu dengan si mati. Lantas dia segera bertanya, “Apakah yang Tuhanmu telah lakukan ke atas kamu?” Maka si mati pun menjawab, “Selepas kamu semua selesai mengkafan dan mengebumikan aku, datanglah dua malaikat seraya bertanya,
مَن ربك؟
“Siapakah Tuhanmu?” Lalu aku pun menjawab dengan menyambung ayat Allah yang berbunyi:
إني ءامنتُ بربكم فاسمعون
“Sesungguhnya aku telah beriman kepada Tuhan kamu, maka dengarlah (pengakuan keimanan)ku” Kemudian kedengaranlah suara yang berbunyi,
قيل ادخل الجنة
“Dikatakan (kepadanya): Masuklah ke dalam Syurga” Lantas aku pun berkata,
قال يا ليت قومي يعلمون. بما غفر لي ربي وجعلني من المكرمين
Dia berkata, “Alangkah baiknya kalau kaumku mengetahui – tentang perkara yang menyebabkan daku diampunkan oleh Tuhanku, serta dijadikanNya daku dari orang-orang yang dimuliakan”
Para pembaca yang saya kasihi sekalian, peristiwa ini membenarkan sabda Nabi Muhammad SAW yang berbunyi:
اقرأوا القرآن فإنه يأتي يوم القيامة شفيعاً لأصحابه
Maksudnya: “Bacalah Al Quran. Sesungguhnya (Al Quran) itu akan datang pada Hari Kiamat nanti menjadi syafaat kepada orang-orang yang membaca (dan beramal dengan)nya”
Semoga ada pengajaran yang kita perolehi daripada kisah hamba Allah yang soleh dan istiqamah dengan Al Quran ini. Bukankah kita semua telah mengetahui bahawa Ramadhan adalah Bulan Al Quran?

Kemuncak majlis adalah Kuliah Umum anjuran MANHAL PMRAM yang telah disampaikan oleh Dr Usamah Sayyid Al Azhari yang membicarakan tentang manhaj (sistem) Al Azhar yang sederhana. Majlis berakhir tepat jam 12 malam dengan bacaan qasidah memuji-muji Rasulullah SAW.

20 September, 2008

Puasa tapi tidak solat

Soalan: Apakah hukum di sisi agama terhadap individu yang berpuasa Ramadhan tetapi dia tidak mendirikan solat? Adakah perbuatannya itu akan merosakkan puasanya dan tidak diganjari pahala?

Jawapan: Sebenarnya terdapat perbezaan di antara "batalnya ibadah" dan "ibadah tidak diterima". Kadang-kadang ibadah tersebut sah dan tidak perlu diulang semula hanya kerana ianya telah mencukupi rukun-rukun dan syarat-syaratnya, namun dalam masa yang sama tidak diterima di sisi Allah SWT. Sebagai contoh, seseorang yang mendirikan solat dengan tujuan menunjuk-nunjuk (riya') ataupun dengan memakai pakaian curi.

Manakala orang yang berpuasa, sekiranya dia menahan diri daripada perkara-perkara yang membatalkan puasa seperti makan, minum dan syahwatnya, maka puasanya sah dan tidak batal walaupun dia telah mengerjakan perbuatan-perbuatan maksiat seperti menipu dan meninggalkan solat. Akan tetapi, walaupun sah ibadat puasanya, adakah ia diterima dan diganjari pahala daripada Allah SWT?

Sesungguhnya terdapat banyak hadith yang mengesahkan bahawa puasa sebegini tidak akan diterima. Contohnya, hadith yang berbunyi:

من لم يدع قول الزور والعمل به فليس لله حاجة في أن يدع طعامه وشرابه (رواه الجماعة إلا مسلما

Maksudnya lebih kurang: "Barangsiapa yang tidak meninggalkan kata-kata dusta dan masih beramal dengannya, maka Allah tidak memerlukan (dia) untuk meninggalkan makanan dan minumannya"

* Ertinya, tiada makna dan faedah lagi puasanya jika individu terbabit masih lagi mengeluarkan kata-kata nista ketika sedang berpuasa. ... Apatah lagi sekiranya dia meninggalkan solat.

Hal yang sama berlaku kepada orang yang berpuasa tetapi tidak menunaikan solat. Puasanya sah dan tidak wajib mengulang puasa tadi walaupun dia telah meninggalkan solat. Sedangkan tentang masalah diterima atau tidak, hadith di atas telah memberikan penjelasan bahawa puasa tersebut tidak diterima.

Katakanlah, sekiranya puasa tersebut diterima dan diganjari pahala, namun perlu diingat bahawa dosa dan hukuman terhadap orang yang meninggalkan solat adalah suatu dosa yang sangat besar dan berat seksaannya. Ianya akan diletakkan di neraca timbangan pada Hari Kiamat, jika tidak diampunkan oleh Allah Ta'ala.

Maka, sepatutnya kita meletakkan di hadapan mata dan dalam hati kita, firman Allah Ta'ala:

فمن يعمل مثقال ذرة خيرا يره ومن يعمل مثقال ذرة شرا يره - الزلزلة: 7-8

Mafhumnya: "Maka sesiapa yang berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya). Dan sesiapa yang berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)"

* Dalam ayat ini dan yang berikutnya, mengandungi galakan supaya kita jangan meninggalkan amalan-amalan baik sekalipun sedikit, dan juga mengingatkan kita supaya menjauhi sebarang maksiat sekalipun kecil.

Allah SWT berfirman lagi:

من عمل صالحا فلنفسه ومن أساء فعليها وما ربك بظلام للعبيد - فصلت: 46

Mafhumnya: "Sesiapa yang mengerjakan amal soleh, maka faedahnya akan terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang berbuat kejahatan, maka bahayanya akan menimpa dirinya sendiri. Dan Tuhanmu tidak sekali-kali berlaku zalim kepada hambaNya"

wAllahu a'lam

Rujukan: كتاب الفتاوى من أحسن الكلام في الفتاوى والأحكام - لفضيلة الشيخ عطية صقر. الجزء الثاني

yang bertanda * , adalah penambahan saya.

17 September, 2008

12 September, 2008

Tidak Batal Puasa Kalau...



بسم الله الرحمن الرحيم


Entri kali ini saya petik daripada kertas kerja yang bertajuk “Ibadah Pesakit: Puasa” yang telah ditulis dan dibentangkan oleh Ustaz Mohd Zamzaini Mohd Dahlan dalam Seminar PERUBATAN-MESIR Kali Pertama (2007) : Ibadah Pesakit, bertempat di Dewan Malaysia Abbasiah Kaherah pada 5-6 Februari 2007.


Jika ditemukan rumus { }, ia merupakan tambahan saya yang juga dinukilkan daripada syarahan Ustaz Mohd Zamzaini.


Berikut adalah petikan kertas kerja beliau:


“Di sana terdapat beberapa rawatan yang melibatkan kemasukan sesuatu benda atau ubatan ke dalam rongga. Dalam persidangan IOMS (Islamic Organization For Medical Sciences) ke-10 pada 1997 di Marocco bertajuk: “An Islamic View of Certain Contemporary Medical Problems” (Pandangan Islam Terhadap Beberapa Masalah Kesihatan Kontemporari), telah digariskan satu kesepakatan yang tidak bertentangan dengan hukum syarak bahawa yang tersebut di bawah ini merupakan rawatan-rawatan yang tidak membatalkan puasa: {kerana kaedah fiqh menyebut المشقة تجلب التيسير yang bermaksud, kesukaran mendatangkan kesenangan}

1- Ubat titis mata dan titis telinga. {Akan tetapi jika ada individu yang saluran telinganya sampai ke perut, maka batal}
2- Tablet nitroglycerin dan yang seumpama dengannya yang diletakkan di bawah lidah (sublingual). Biasanya digunakan untuk merawat sakit jantung.
3- Semua bentuk rawatan yang melibatkan kemasukan benda atau ubat ke dalam faraj seperti vaginal suppository, pencucian (doush), vaginoscope atau tangan doktor yang memeriksa pesakit (digital examination).
4- Semua bentuk tiub atau bahan yang dimasukkan ke dalam badan melalui saluran kencing seperti urethroscope, barium, pencuci urethra.
5- Tampal gigi, cuci gigi atau gosok gigi dengan siwak atau berus gigi selagi mana tidak masuk ke dalam halkum (ditelan).
6- Semua jenis suntikan {tetapi masih berlaku perselisihan ulama’} – kecuali Parenteral Nutrition (Fluid therapy). {kerana dalamnya ada kandungan makanan}
7- Pendermaan darah atau menerima darah.
8- Bantuan oksigen atau gas pelali (anesthetic gases).
9- Semua jenis krim atau minyak yang disapu pada kulit walaupun dibekalkan dengan bahan kimia yang terserap ke dalam kulit.
10- Ambil darah untuk ujian makmal.
11- Semua jenis salur yang dimasukkan ke dalam salur darah untuk tujuan x-ray pada jantung atau mana-mana anggota badan (catheterization)
12- Laparoscope yang dimasukkan ke dalam abdomen untuk tujuan pembedahan.
13- Semua jenis ubat kumur, seperti mouth-rinsing gargel, penyembur mulut selagi mana tidak masuk ke dalam halkum.
14- Uteroscope atau IUCD (pencegah hamil) yang dimasukkan ke dalam rahim.
15- Sampel organ yang diambil dari badan seperti hati atau dari mana-mana anggota badan (biopsy).


Majoriti {bermakna ada minoriti. Namun pendapat minoriti tersebut, tidak diterima} yang terlibat (pakar perubatan & Syariah) dalam persidangan tersebut memutuskan bahawa pesakit tidak batal puasa dengan rawatan berikut:


1- Ubat titis ke dalam hidung (nasal drops) atau ubat asthma (inhaler). {tapi sekiranya ubat asthma ini ada rasa, dan si pesakit menelan – batal}
2- Semua jenis ubat yang dimasukkan melalui anus (dubur)
(walaupun sebahagian ulama’ mazhab menghukumkan batal puasa, tetapi sebahagian yang lain tidak menghukumkan batal. – untuk keluar dari khilaf {perselisihan ini} elok jika rawatan dilakukan pada waktu malam selepas berbuka puasa – penulis (Ustaz Mohd Zamzaini)
3- Pembedahan yang menggunakan pelali seluruh badan (general anesthesia) yang dijalankan pada siang hari setelah pesakit mula berpuasa sejak malam sebelum pembedahan.
4- Suntikan untuk merawat sakit buah pinggang melalui artificial kidney (dialysis) samada peritoneal atau hemodialysis.
5- Memasukkan gastroscope ke dalam perut dengan syarat tiada sebarang cecair atau apa-apa bahan rawatan disalurkan.”


Demikianlah sebahagian daripada isi kandungan kertas kerja yang bertajuk “Ibadah Pesakit: Puasa” yang dapat saya kongsikan di sini. Semoga kita semua beroleh manfaat.
اللهم اشف مرضانا ومرضى المسلمين