Jangan menghina barang yang kecil kerana jarum yang kecil itu kadang-kadang menumpahkan darah.
Jiwa yang tidak membaca Al-Quran umpama telefon bimbit yang kehabisan bateri. Betapa canggih sekalipun fungsinya dan betapa mahal sekalipun harganya, ia tetap tidak berguna jika kehabisan bateri. Begitulah jiwa yang mati, betapa segak, cantik, bertenaga dan anggun sekalipun jasad luaran seseorang, tanpa Al-Quran segalanya tidak bermakna.

29 September, 2008

Hamba Allah yang soleh tapi mati sesat?





Semalam saya berkesempatan menghadiri Majlis Iftor Jama’ie (Berbuka puasa beramai-ramai) di Dataran Kompleks Malaysia, Hayyu ‘Asyir, Kaherah. Program tersebut dianjurkan oleh Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM). Kehadiran para mahasiswa dari pelbagai fakulti dan negeri pada ketika itu amat memberangsangkan.
Sementara menanti masuknya waktu maghrib, majlis telah dimulakan dengan acara berzikir beramai-ramai. Setelah selesai mendirikan solat maghrib secara berjemaah dan menikmati hidangan berbuka di dataran itu juga, agenda majlis diteruskan dengan ucapan daripada Presiden PMRAM iaitu Ustaz Khairul Anuar Ismail. Beliau telah mengingatkan para hadirin tentang Ramadhan yang semakin hampir dengan penghujungnya dan menyeru agar tidak mensia-siakan hari-hari yang masih berbaki ini, kerana khuatir sekiranya ini adalah Ramadhan yang terakhir dalam diari kehidupan kita.
Seterusnya para hadirin pun menunaikan solat fardhu isya’ dan solat sunat tarawih. Apa yang ingin saya kongsikan di sini ialah tentang sebahagian daripada isi penting tazkirah yang telah disampaikan oleh Ustaz Mohd Asri Daud iaitu salah seorang fellow Markaz Pengumpulan Kajian Hasilan Penyelidikan (MANHAL PMRAM) setelah empat rakaat solat tarawih yang pertama.
Ustaz Mohd Asri berjaya menarik perhatian hadirin apabila menceritakan tentang kisah seorang hamba Allah yang konsisten dalam amalannya iaitu dengan membaca Al Quran sepuluh juzu’ pada setiap hari. Sehinggalah pada suatu hari, tibalah ajalnya tatkala sedang membaca Al Quran. Cuma hal yang mengejutkan banyak pihak ialah apabila hamba Allah yang soleh tersebut telah menghembuskan nafasnya ketika selesai membaca firman Allah dari Surah Yaa siin ayat ke 23 yang berbunyi:
إني إذاً لفي ضلال مبين
Yang bermaksud: “Sesungguhnya aku pada ketika itu berada dalam kesesatan yang nyata”.
Sudah pasti keadaan ini membuatkan orang ramai tertanya-tanya, mengapakah dia mati apabila membaca ayat sebegini?
Tidak lama selepas peristiwa itu, ada seorang hamba Allah yang soleh yang lain pula telah bermimpi bertemu dengan si mati. Lantas dia segera bertanya, “Apakah yang Tuhanmu telah lakukan ke atas kamu?” Maka si mati pun menjawab, “Selepas kamu semua selesai mengkafan dan mengebumikan aku, datanglah dua malaikat seraya bertanya,
مَن ربك؟
“Siapakah Tuhanmu?” Lalu aku pun menjawab dengan menyambung ayat Allah yang berbunyi:
إني ءامنتُ بربكم فاسمعون
“Sesungguhnya aku telah beriman kepada Tuhan kamu, maka dengarlah (pengakuan keimanan)ku” Kemudian kedengaranlah suara yang berbunyi,
قيل ادخل الجنة
“Dikatakan (kepadanya): Masuklah ke dalam Syurga” Lantas aku pun berkata,
قال يا ليت قومي يعلمون. بما غفر لي ربي وجعلني من المكرمين
Dia berkata, “Alangkah baiknya kalau kaumku mengetahui – tentang perkara yang menyebabkan daku diampunkan oleh Tuhanku, serta dijadikanNya daku dari orang-orang yang dimuliakan”
Para pembaca yang saya kasihi sekalian, peristiwa ini membenarkan sabda Nabi Muhammad SAW yang berbunyi:
اقرأوا القرآن فإنه يأتي يوم القيامة شفيعاً لأصحابه
Maksudnya: “Bacalah Al Quran. Sesungguhnya (Al Quran) itu akan datang pada Hari Kiamat nanti menjadi syafaat kepada orang-orang yang membaca (dan beramal dengan)nya”
Semoga ada pengajaran yang kita perolehi daripada kisah hamba Allah yang soleh dan istiqamah dengan Al Quran ini. Bukankah kita semua telah mengetahui bahawa Ramadhan adalah Bulan Al Quran?

Kemuncak majlis adalah Kuliah Umum anjuran MANHAL PMRAM yang telah disampaikan oleh Dr Usamah Sayyid Al Azhari yang membicarakan tentang manhaj (sistem) Al Azhar yang sederhana. Majlis berakhir tepat jam 12 malam dengan bacaan qasidah memuji-muji Rasulullah SAW.

No comments: