Jangan menghina barang yang kecil kerana jarum yang kecil itu kadang-kadang menumpahkan darah.
Jiwa yang tidak membaca Al-Quran umpama telefon bimbit yang kehabisan bateri. Betapa canggih sekalipun fungsinya dan betapa mahal sekalipun harganya, ia tetap tidak berguna jika kehabisan bateri. Begitulah jiwa yang mati, betapa segak, cantik, bertenaga dan anggun sekalipun jasad luaran seseorang, tanpa Al-Quran segalanya tidak bermakna.

30 September, 2010

Menikah di masjid

Rasanya musim perkahwinan selepas cuti Aidilfitri ini masih lagi berlangsung. Kelmarin dan sehari sebelumnya, saya sempat menyaksikan sendiri di masjid yang sama, dua pasang pengantin baru disatukan. Syukur dipanjatkan kepada Allah kerana ada kesedaran untuk mendirikan 'masjid' itu di masjid juga.

malangnya..... (ni yg tak best nih)

saya berasa dukacita apabila melihat pengantin dan juga rombongan yang memasuki masjid tidak menunjukkan adab yang tinggi terhadap masjid. Melangkah masuk dengan kaki kiri umpama masuk ke dalam tandas, tanpa membaca doa masuk masjid. Sesudah tiba di dalam dewan solat, langsung sahaja duduk bersila, dan tidak kurang yang sibuk mengambil gambar. Susah sangatkah hendak mendirikan solat sunat tahiyyatul masjid? Gabra barangkali si pengantin sampai terlupa untuk melakukannya. Ahli rombongan pun terlupa juga?

Mujurlah tuan qadi atau imam yang menikahkan mereka tidak lupa tentang adab masuk masjid ini. Alhamdulillah.

Kasihan sungguh. Mengharapkan keberkatan bernikah di rumah Allah , tetapi terlupa yang mereka sedang berada di rumah Allah. Bayangkan ada orang asing masuk ke rumah anda, tanpa mengucapkan salam, masuk dengan kaki kiri dan terus duduk tanpa dipersilakan. Apakah perasaan anda sebagai tuan rumah ketika itu?

Soalan.... selepas bernikah di masjid, adakah si pengantin masih kerap ke masjid?

mudah-mudahan....

soalan berikutnya.... amboi kalau nak menikah, bukan main taat lagi mendengar kata ustaz-ustaz atau tuan imam. Lepas ni, kalau ustaz yang sama berceramah tentang hukum-hakam Islam, agak-agak ... nak dengar lagi tak?

29 September, 2010

remember...

MUTIARA MINDA

"Sudahkah di Qada' Solat yang lepas-lepas? Jika tidak ingat, gantikanlah dengan mengira berapa usia kita sekarang ditolak kira-kira 10 tahun dari mula akil baligh kita..." Subhanallah, betapa alpa nya kami... Sesungguhnya Engkau maha penerima taubat...

Peringatan buat diriku yang sering lupa........
Adakah kita seorang Islam???? Pernahkah kita terfikir... Hidup kita ini hanyalah sementara. Sampai masanya kita akan pergi menemui Allah. Apakah bekalan dan persediaan kita menempuh hari kematian. Dalam kita mengejar kejayaan dunia, kita sering lupa bahawa tujuan hidup kita yang sebenar.. apakah pilihan kita? Beruntunglah orang-orang yang berebut-rebut menagih ihsan dan kasih sayang Allah. Sesungguhnya keredhaan Allah yang kita cari. Dunia yang semakin tua ini sering dilanda masalah, bermula daripada jerebu, kegawatan
ekonomi, timbul pula gejala murtad... Fitnah.. gempa bumi, peperangan
dan bermacam-macam lagi. Ini sebenarnya adalah ujian Allah kepada kita. Adakah kita benar-benar menginsafinya. Semua ini juga adalah bala!! Tanda kemurkaan Allah!! Adakah kita benar-benar seorang Islam???? Maka, adakah kita fikir bahawa kejayaan kita di Universiti dapat membawa kita ke Syurga?Adakah kita fikir bahawa kejayaan kita adalah kerana usaha dan ikhtiar anda sendiri. Tidak malukah kita mengaku diri kita hebat, bijak, rajin .. walhal semuanya adalah kurnia Allah. Segala kelebihan yang ada pada kita adalah datangnya dari Allah. Apakah kita fikir Allah itu akan menyukai hambaNya yang tidak bersyukur.Adakah kita yakin kita seorang Islam???

Sedangkan Rabiatul Adawiyah tidak mahu melupakan Allah walau sedetik
sekalipun. Hassan Al-Basri pula menangis sampai berjujuran airmata kerana menyesal melupai Allah dalam beberapa minit. Tetapi, mengapa kita masih leka di buai perasaan...

Tidakkah kita berasa rugi kerana kurang berzikir kepada Allah..
Tidakkah kita berasa rugi kerana kurang berselawat kepada Rasulullah...

Siapa diri kita sebenarnya!!!! Firaun???
Tentu tidak.. jadi, siapa kita sebenarnya, wahai manusia yang berasal
dari sekepal tanah yang hina!!!! Apakah kita yakin kita bertuhankan Allah????
Maka, mengapa kita tidak mahu mengejar Dia... Mengapa kita masih
mendedahkan aurat?. Mengapa kita masih tidak mahu menuntut ilmu.
Syariat,Tariqat, Hakikat, dan Makrifat. Feqah dan Tasauf... Dapatkah
kita menghuraikan cabang-cabang ilmu tersebut.. Tidak malukah kita kerana gagal menghuraikannya, jauh dari mengamalkannya. Adakah kita harus mempersalahkan puak-puak kristian yang berjaya memurtadkan ribuan umat Islam jika kita sendiri gagal memperhebatkan pertahanan diri.

Ketahuilah... sesungguhnya Iblis itu amat suka kepada mereka yang
tidak berilmu.. Sedarilah bahawa, kejahilan boleh menyebabkan dosa. Dosa!!!
Kita tidak takut dosa.Berapa banyak amalan kita yang boleh menghapuskan dosa seharian??? Apakah kita begitu yakin untuk menempuh akhirat???? Siapakah kita menjelang hari kematian? Adakah kita seorang Islam. Bersediakah kita berhadapan dengan malaikat maut. Apakah kita merasakan diri kita terlalu mulia sehingga tidak ada daya untuk menjauhkan diri dari perbuatan mungkar.
Kita pergi kuliah, pergi kerja ** kita yakin kita telah menutup aurat? Kita solat .... ** kita yakin solat kita tidak tercela?
Kita makan ... ** kita yakin rezeki yang kita jamah diredhai Allah?
Kita minum ... ** kita yakin di akhirat kelak kita akan dapat minum seperti yang kita minum sekarang?
Kita ketawa ... ** kita tidak malu pada Allah?
Kita cemerlang dalam SPM, dan peperiksaan di kolej mahupun universiti, ...
* kita yakin semua itu dapat membantun kita menjelangnya fitnah kubur?
Kita berpuasa ** kita yakin puasa kita mulia sehingga dapat membela
kita di hari akhirat?
Kita sihat ... ** kita yakin Allah muliakan kita?
Kita sakit ... ** kita tidak malu pada Allah kerana menarik balik nikmat kesihatan?
Siapa Kita????
Kita adalah manusia yang berasal dari sekepal tanah yang hina dina.. betapa hinanya kita... tapi, kita masih mampu tersenyum dan tertawa. Bersedialah menempuh hari selepas kematian, bersedialah untuk menempuh sakaratul maut. Burulah cinta ALLAH, sebelum Allah menutup pintu rahmatnya.
Sesungguhnya kematian itu adalah sesuatu yang PASTI......!!!!
Siapa kita....????

25 September, 2010

Entri pertama di Malaysia


assalamualaikum wbt.

Setelah kian lama menyepi, kini saya kembali menulis di blog ini. Ternyata sepanjang keberadaan saya di Malaysia semenjak 29 Ogos yang lalu sentiasa sendat dan dipenuhi dengan pelbagai aktiviti yang melibatkan keluarga. Saat saya menulis ini, saya berada di Sungai Petani, Kedah di rumah ibu mertua saya.

Apa yang hendak dikongsikan kali ini adalah berkenaan peristiwa kelmarin (hari Jumaat), saya telah mendirikan solat Jumaat di Masjid Jamek Jalan Hatin, Pulau Pinang. Masjid ini terletak di belakang Sekolah Kebangsaan Perempuan Island, Pulau Pinang iaitu tempat isteri saya bertugas.

Saya terkejut ketika melangkah masuk ke dalam masjid apabila mendapati khatib yang membaca khutbah Jumaat itu berpakaian seragam polis. Rupa-rupanya beliau adalah Ketua Polis Pulau Pinang. Isi khutbah yang disampaikan sangat menarik perhatian saya tatkala khatib adakala membacanya dan adakala diselangi dengan ucapan dari lisannya sendiri secara spontan.

Beliau telah menyentuh tentang isu dakwah, yang mana setiap individu muslim mestilah berperanan dalam usaha amar makruf dan nahi munkar ini. Namun masih perlu diingat bahawa antara faktor keberkesanan dakwah ini turut bergantung kepada penampilan dan akhlak pendakwah itu sendiri. Oleh yang demikian, seseorang muslim itu sewajarnya membetulkan dahulu dirinya dengan berusaha untuk berakahlak mulia lantas menjadi qudwah ataupun ikutan kepada orang lain.

Isi khutbah yang paling menarik bagi saya, adalah tatkala khatib membicarakan isu bukan muslim yang semakin berani 'mengomplen' dan menafikan hak beribadat kita. Mari kita lihat di masjid-masjid yang bertebaran di seluruh negara. Masjid-masjid yang dibina itu besar, terhias indah namun tidak ramai yang mengimarahkannya. Laungan azan bergema dengan pembesar suara. Begitu juga suara imam kedengaran dengan mikrofon di mulutnya. Akan tetapi apabila diintai ke dalam masjid, rupa-rupanya yang berada di belakang imam hanyalah lima orang sahaja.

Justeru itu, apakah yang perlu menghairankan kita ketika golongan muslim berani bersuara dengan mendakwa bahawa laungan azan yang kuat itu mengganggu ketenteraman mereka, lantas membuat kita melenting dan marah terhadap non-muslim ini? Sedangkan kita sendiri yang tidak memenuhkan masjid itu dengan solat berjemaah.

Cuba bayangkan sekiranya setiap kali azan dikumandangkan, berpusu-pusu umat Islam menuju ke masjid untuk mendirikan solat secara berjemaah dan bilangannya sangat ramai seumpama Jumaat ketika ini, adakah wujud golongan bukan muslim yang berani untuk komen itu dan ini? Pasti mereka akan menghormati kita, dan tidak akan berkata yang bukan-bukan.

Begitu juga dengan mereka yang memang sering ke masjid. Jika mereka merasakan itu adalah suatu jaminan untuk membolehkan mereka mencapai syurga di akhirat sana, mengapa hanya bersendirian menuju ke masjid? Adakah dia hendak masuk syurga seorang diri tanpa mengajak ahli keluarga untuk bersamanya?

Semua teguran dan saranan daripada khatib Jumaat kali ini, benar-benar mengenakan batang hidung saya. "tak sangka betul, ketua polis ini ... boleh tahan" "oh alangkah baik, jika ramai lagi pimpinan daripada pelbagai sektor memberikan contoh yang baik seperti ini, mudah-mudahan khutbah Jumaat bukannya masa untuk 'tidur qailulah' sebaliknya adalah masa untuk mendengar peringatan yang benar-benar memberikan pengajaran berharga.