30 January, 2009
KITA sebenarnya...
hanya meng'copy' dari tulisan yang bertajuk "KITA".
******************************
Kita sebenarnya....
(saya edit sikit)
atau barangkali "saya" yang sebenarnya...
* Lebih gembira menyambut 1hb Januari daripada 1 Muharram
* Lebih tahu apa itu 14 Februari daripada 12 Rabiulawal
* Lebih membesarkan hari Sabtu, Ahad daripada hari Jumaat
* Lebih khusyuk mendengar lagu daripada mendengar Azan
* Lebih suka lepak,tidur tengok TV daripada sembahyang
* Lebih tahu tentang artis pujaan kita daripada nama nabi-nabi Allah
* Lebih suka menyebut hello!...hai! daripada assalamualaikum
* Lebih suka pakai cap, topi daripada tudung, kopiah
* Lebih suka menyanyi daripada berwirid, bertahmid
* Lebih suka memuji manusia daripada Tuhan kita sendiri
* Lebih suka membaca majalah hiburan daripada buku-buku agama
* Lebih suka ke konsert, karaoke daripada ceramah agama (tapi saya yakin, yang pembaca-pembaca blog ini, bukan macam tu)
* Lebih suka memaki, mengumpat orang daripada memuji mereka
* Lebih suka mencarut, @#%^&! daripada menyebut MasyaAllah
* Lebih suka kemungkaran daripada berbuat kebaikan
* Lebih bangga dengan kejahilan kita daripada bersyukur dengan keimanan kita
* Lebih cintakan urusan dunia daripada urusan akhirat
TETAPI bila orang tanya arah tujuan kita, kita pasti akan jawab
Kita
SEBENARNYA.....
Lebih suka menuju ke Syurga daripada ke Neraka
Layakkah kita dengan Syurga milik Allah SWT??
Yang mana Tuhan suruh itu sama-samalah kita buat, yang dilarang itu kita pakat
tinggallah.
Malu kita dengan Tuhan yang telah memberikan segala kenikmatan kepada hamba-hambaNya tetapi kita masih lupa padaNya. InsyaAllah, Tuhan akan mengampunkan dosa-dosa kita yang telah lampau. Wallahualam.
"Hai Kaumku, sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah kesenangan (sementara)dan sesungguhnya akhirat itulah negeri yang kekal.
Barangsiapa mengerjakan perbuatan jahat, maka dia tidak akan dibalasi melainkan sebanding dengan kejahatan itu. Dan barangsiapa mengerjakan amalan yang soleh baik lelaki mahupun perempuan sedang ia dalam keadaan beriman, maka mereka akan masuk syurga , mereka diberi rezeki di dalamnya tanpa dihisab.
(surah Al Mu'min ; ayat 39-40)
25 January, 2009
Masjid Amru Al 'As
Sekali-sekala tukar angin.... cerita tentang....
Masjid `Amru `Al-‘As
Al-Maqrizi menyatakan, “Ketika Saidina Umar al-Khattab berjaya membuka beberapa buah negara, beliau telah menghantar sepucuk surat yang mengandungi arahan kepada Abi Musa al-Asya’ri di Basrah untuk membina Masjid Jami’ (masjid negara) dan juga masjid bagi kabilah-kabilah. Maka pada setiap hari Jumaat semuanya perlu berhimpun di Masjid Jami’. Begitu juga beliau telah mengarahkan Sa’ad bin Abi Waqas di Kufah dan `Amru al-‘As di Mesir membina Masjid Jami’ sebagaimana di Basrah. Rakyat jelata pada ketika itu amat patuh dan taat dengan perintah dari Khalifah Umar dan solat Jumaat hanya didirikan di dalam Masjid Jami’.
Jami’ ini dibina pada tahun 21 H bersamaan 642 M di Fustat, ibu kota Islam pertama di bumi Mesir yang merupakan kawasan yang strategik dari sudut geografi, ketenteraan dan pertahanan.
Selain daripada itu, masjid ini juga mempunyai banyak gelaran atau nama lainnya seperti Taj Al Jawami’ (Mahkota Masjid), Jamie’ Al ‘Atiq (Masjid Tertua) dan Masjid Ahlu Ar Raayah (Pemegang Panji).
Jami’ ini merupakan masjid yang pertama di Benua Afrika yang didirikan oleh sahabat Rasulullah s.a.w. yang bernama `Amru al-‘As. Al-Kindi menyatakan bahawa bahagian kiblat masjid ini telah didirikan oleh 80 orang sahabat Rasulullah s.a.w. Antaranya ialah al-Zubair bin al-`Awwam, Miqdad bin al-Aswad, `Ubadah bin al-Somit, Abu Darda, Fadholah bin `Ubaid serta `Uqbah bin Amir. Dalam riwayat lain menyebut bahawa Jami’ ini telah diasaskan oleh 4 orang sahabat Rasulullah s.a.w. iaitu Abu Dzar, Abu Basiroh, Meh' ah bin Juz al-Zubaidi dan Nabih bin Sowab.
Saidina `Amru al-‘As juga membuat mimbar, namun beliau telah diarahkan oleh Khalifah Umar al-Khattab untuk meruntuhkannya (kerana ingin menjauhkan pemimpin ketika itu dari merasa bangga diri ketika berkhutbah dan berucap). Arahan tersebut dipatuhi, namun dikatakan setelah khalifah meninggal dunia, `Amru al-‘As telah membina mimbar baru sebagaimana yang sebelumnya.
Walaubagaimanapun, binaan asal ini sudah tidak wujud lagi disebabkan usaha-usaha pembesaran dan pemulihan yang sentiasa berlaku pada setiap zaman selari dengan perubahan pemerintahan.
Kelebihan Jami’ `Amru al-'As r.a.
Jami' ini merupakan Masjid Jami’ yang bersejarah dan mempunyai keberkatannya yang tersendiri lantaran ia dibina oleh para sahabat Nabi s.a.w. Ianya merupakan pusat penyebaran dakwah Islamiah dan juga pusat pengajian yang pertama di Mesir. Di masjid inilah Imam al-Laith, Imam al-Syafi’e serta al Imam Muhammad bin Jarir al-Tobari pengarang tafsir Tobari yang terkenal mengajar ilmu-ilmu mereka. Menurut sebuah riwayat, di antara kelebihan masjid ini ialah, mustajabnya doa bagi sesiapa yang berdoa di dalamnya berkat daripada para sahabat Nabi Muhammad s.a.w. yang mulia.
Pada zaman moden ini, Masjid ‘Amru mampu memuatkan 40 ribu orang jemaah dalam satu masa dan ia akan menjadi sangat sesak dengan jemaah pada bulan Ramadhan terutama sekali pada malam ke 27 Ramadhan setiap tahun hingga hampir mencecah 100 ribu orang kerana solat tarawih ketika itu akan diimamkan oleh Syeikh Muhammad Jibril (salah seorang syeikh yang terkenal dengan bacaan Al Qurannya yang sangat merdu dan menginsafkan pendengar)
14 January, 2009
Sijil tanda berilmu?
Saya ingin berpesan kepada diri sendiri sekiranya saya menduduki peperiksaan pada masa-masa mendatang, mudah-mudahan ilmu yang saya perolehi dan hafaz ketika muraja’ah sempena peperiksaan itu akan ‘lekat’ dalam benak pemikiran saya, lalu diterjemahkan dalam kehidupan.
Apalah ertinya, saya bersengkang mata demi mengingat fakta-fakta penting yang kemungkinan akan ditanya dalam peperiksaan, namun setelah usai peperiksaan, saya lupakan segala-galanya. Apa lagi yang tinggal? Masih adakah lagi ilmu itu dalam dada saya?
Selamat menjalani peperiksaan, semoga kejayaan menjadi kenyataan.
03 January, 2009
Saya tidak sokong Palestin?
Namun, pemikiran saya pula kemungkinan sedikit berbeza. Pada saya perbuatan mengutuk dan menyumpah seranah puak-puak Israel dari jauh ini hanyalah ‘membazir air liur’. Saya akui kita tidak mampu untuk pergi ke Palestin dan berjuang di sana. Akan tetapi soalan saya, apa yang kita / saya dapat sekiranya saya hanya mengutuk mereka? Adakah Israel akan mendengar dengusan dan lolongan suara hati saya? Apakah mereka akan menghentikan serangan terhadap Palestin? Pada saya tidak! Kerana telinga mereka memang telah pekak. Jadi di manakah faedahnya kita ‘bersuara’ di hadapan orang yang pekak? Apa yang saya nampak, Israel semakin galak melakukan pengeboman dan pembunuhan di sana.
Bukankah Allah telah berfirman:
ولن ترضى عنك اليهود ولا النصارى حتى تتبع ملتهم
“Orang-orang Yahudi dan Nasara tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu).” – Al-Baqarah:120
Sungguhpun ayat ini pada asalnya ditujukan kepada Junjungan kita Nabi Muhammad SAW, tetapi kita sebagai umatnya turut menerima nasib yang sama. Dalam ayat yang lain Allah berfirman:
لتجدن أشد الناس عداوة للذين ءامنوا اليهود والذين أشركوا
“Demi sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) akan dapati manusia yang keras sekali permusuhannya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang Yahudi dan orang-orang musyrik.” – Al-Ma’idah: 82
Saya tidak bermaksud untuk tidak menyokong Palestin, jauh sekali menyebelahi Israel, cuma merasakan tindakan dan sikap yang telah saya lahirkan sebelum ini seolah-olah tidak mencerminkan jati diri seorang muslim sejati yang kasihkan kepada saudara seakidahnya di tanah suci itu. Serasa macam hanya berpeluk tubuh tanpa melakukan apa-apa.
Saya tidak mahu mengata orang lain. Saya sendiri pun lebih kurang sama. Kita hanya bersemangat berapi-api mengata itu dan ini tentang kebobrokan Bani Israel yang tidak pernah endah terhadap soal kemanusiaan, walhal tanpa kita sedari rupa-rupanya kita juga turut menyumbang kepada kekuatan ekonomi dan waja diri Israel untuk terus melakukan kezaliman.
Saya juga suka menggunakan sos cili dan tomato daripada Syarikat Heinz, gula-gula Hails, coklat cadbury, minum air coca-cola, pepsi, dan fanta. Begitu juga dengan keluaran syarikat Nestle seperti nescafe, maggie, smarties, nesquik, dan milkmaid. Tidak lupa juga keropok chipsi.
Hendak masuk ke McDonalds ataupun Kentucky Fried Chicken (KFC), rasanya tidak. Tapi, kalau ada orang belanja, saya ‘balun’ juga. Syampu jenama Head & Shoulders, sabun mandi Palmolive, dan bateri kecil Energyzer masih menjadi pilihan saya.
Khalayak pembaca yang budiman barangkali tidak buat sepertimana saya. Saya sahaja yang masih begini. Kesudahannya adakah saya termasuk dalam golongan yang mahu Palestin diselamatkan daripada kezaliman Yahudi? Saya ulang sekali lagi, tiada gunanya saya bertempik menghentam tindakan mereka di Palestin, sekiranya saya tidak meninggalkan perbuatan membeli produk-produk tajaan mereka.
Seperkara lagi, adakah kita telah melaksanakan slogan yang berbunyi “Tegakkan daulah Islamiah dalam dirimu, maka akan tertegaklah daulah Islamiah dalam negaramu”? biar saya jawab untuk diri saya, … belum. Malahan masih banyak kekurangan dan kecacatan yang bersarang dalam lubuk hati saya.
Orang-orang Yahudi yang benar-benar mengkaji kitab Taurat memang menyedari bahawa suatu masa nanti, mereka juga akan dikalahkan oleh umat Islam. Tetapi bersyarat! Apakah syaratnya?
“Jangan harap umat Islam seluruh dunia akan menang, selagi bilangan jemaah solat fardhu subuh di masjid tidak sama ramainya dengan bilangan jemaah ketika solat fardhu Jumaat.”
Adakah saya (baca: kita) telah memenuhi syarat ini?