Jangan menghina barang yang kecil kerana jarum yang kecil itu kadang-kadang menumpahkan darah.
Jiwa yang tidak membaca Al-Quran umpama telefon bimbit yang kehabisan bateri. Betapa canggih sekalipun fungsinya dan betapa mahal sekalipun harganya, ia tetap tidak berguna jika kehabisan bateri. Begitulah jiwa yang mati, betapa segak, cantik, bertenaga dan anggun sekalipun jasad luaran seseorang, tanpa Al-Quran segalanya tidak bermakna.

02 July, 2008

SOALAN PEPERIKSAAN BOCOR !!

Alhamdulillah, pada hari ini saya baru sahaja selesai menjalani peperiksaan. Ternyata soalan-soalan tahun ini benar-benar mencabar minda si pemalas ini !

Tatkala berhadapan dengan soalan-soalan cepu emas yang tidak diduga, ataupun yang sudah diagak, namun kepayahan tetap terasa. Kesudahannya kertas jawapan saya masih banyak warna putih yang suci lagi bersih. (kantoi)

Semasa otak ligat berfikir bagaimana hendak mereka-reka sendiri jawapan, tiba-tiba terlintas di benak fikiran saya bahawa terdapat beberapa persamaan di antara senario menjawab soalan peperiksaan di dunia dengan soalan ‘peperiksaan’ di alam barzakh. Di dunia, ataupun kalau boleh saya kecilkan skop dalam alam pengajian, kita tidak akan mampu untuk menjawab soalan peperiksaan dengan baik sekiranya tidak mempunyai persediaan yang cukup disebabkan beberapa faktor seperti sikap mengambil lewa, tiada kesungguhan, suka bertangguh dan tidak menjaga soal kerohanian. Natijahnya, otak menjadi serabut ketika di ambang peperiksaan. Apakah berguna penyesalan dalam dewan peperiksaan?

Mari kita lihat pula dengan alam barzakh walaupun tiada siapa di kalangan pembaca termasuk penulis yang pernah melihatnya secara langsung ! Tapi bayangan dan cerita tentangnya selalu kita dengar. Bukankah kita telah diajar oleh para ustaz dan ustazah, tentang soalan yang berbunyi, “Siapakah Tuhanmu?”, “Apakah agamamu?”, “Siapakah ikutanmu?”, “Apakah kitab peganganmu?” dan “Di manakah kiblatmu?”

Bukankah semua ini merupakan soalan-soalan peperiksaan yang telah bocor?!!

Hei !!! Jangan gembira dulu! Mentang-mentang soalan dah bocor, ingat kita boleh duduk bersantai, dan berpeluk tubuh tanpa menyediakan bekalan? Inilah persamaan yang saya maksudkan tadi.

Kelakuan kita sepanjang hidup ini akan dinilai dan itulah ‘markah’ yang akan menjadi pembantu ataupun pemusnah harapan ketika diberikan ujian lisan oleh dua malaikat nanti. Jika banyak amalan kita yang disertai dengan keikhlasan dan meninggalkan kemungkaran hanya kerana Allah swt, lancarlah jawapan kita. Sebaliknya jika banyak dosa dan maksiat yang kita kerjakan, kemudian tidak pula disusuli dengan taubat, maka nahaslah kita. (wal ‘iyadzu billah)

Oleh yang demikian, saya berpesan kepada diri sendiri dan juga kepada para pembaca sekalian, marilah sama-sama kita mengkoreksi diri, muhasabah dan renungkan sejauhmana hubungan kita dengan Pencipta kita? Adakah kita berkeyakinan 100% mampu menjawab soalan-soalan bocor itu?

Di dalam dewan peperiksaan dunia, penyesalan itu mungkin berguna kerana sekiranya dipanjangkan umur mungkin kita akan ada peluang buat kali yang berikutnya. Tetapi ‘di sana’, masih adakah peluang tersebut? Di alam sana, jangan bermimpi Allah akan kabulkan permintaan yang berbunyi, "Ya Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar. Maka kembalikanlah kami (ke dunia). Kami akan mengerjakan amalan soleh. Sesungguhnya kami adalah orang-orang yang yakin" - (Surah As-Sajdah: 12)

Jangan sampai dah terhantuk, baru nak terngadah.

1 comment:

Anonymous said...

alhamdulillah... ketemu juga akhirnya informasi berkenaan soalan di alam barzakh ini.. terima kasih kerena mengulas..