Saya ingin kongsikan sebuah artikel yang ditulis oleh al-Fadhil
al-Ustaz Hasrizal Abdul Jamil yang juga dikenali sebagai Saiful Islam
dalam Majalah i, bilangan 67, Mei 2008, bertajuk “TIDAK BERSIH ISLAM
DENGAN KEKOTORAN MUSLIM”.
Sungguhpun artikel ini ditulis pada lima tahun yang lalu,
namun saya merasakan ia tetap relevan dan ada kaitan ataupun wujud persamaan
dengan isu “Alvin dan Vivian” yang kita dakwa mereka sebagai menghina kesucian
bulan Ramadhan.
Berikut adalah kandungan artikel .....
**************
“Kita kena tunjukkan kepada orang-orang kafir yang kita
orang Islam ini tidak semudah itu diperkotak-katikkan”, bentak seorang ‘pembela
Islam’.
“Ya, biar mereka tahu siapa kita!”, tegas seorang yang lain.
“Ajar kafir laknat tu!”, berapi-apinya seorang ‘pahlawan Islam’ yang seorang lagi.
Tunjukkan! Buktikan! Biar mereka Nampak!
Itulah kalimah yang sering diulang-ulang dengan penuh emosi,
atas alasan mahu mempertahankan kesucian Islam. Dan semakin kerap laungan itu
diseru, semakin palsu kedengarannya di telinga. Bahawa Muslim memaksa dunia
untuk mengakui kehebatan Islam.
Ironi sekali, isu penghinaan filem Fitna Geert Wilders
muncul hampir serentak dengan laporan media bahawa buat kali pertamanya dalam
sejarah, jumlah umat Islam sedunia telah mengatasi jumlah penganut Catholic,
sebagaimana yang diumumkan oleh pihak Vatican City.
Sungguh memilukan. Tatkala Vatican City mengisytiharkan
‘kekalahan mereka’ kepada Muslim dari segi jumlah penganut, ketika itulah satu
lagi siri penghinaan terhadap Islam muncul dalam versi filem pendek Fitna,
hasil ‘kreativiti’ ahli politik berhaluan kanan Belanda, Geert Wilders.
Tiadakah sebarang makna kepada jumlah Muslim yang sebegitu
ramai? Tidakkah sepatutnya jumlah seramai itu sudah cukup untuk menggertak
musuh tentang ‘ketuanan Islam’? Bahawa Islam itu tinggi, dan tiada yang lebih
tinggi mengatasinya? Bahawa, “jangan main-main dengan Islam!”
Persoalan-persoalan ini menghiris perasaan sesiapa sahaja
yang merenung kehidupan ini dengan pandangan mata hati bahawa apa yang dicari adalah
sebuah realiti, dan bukannya ilusi.
ILUSI DAN REALITI
Abu al-Hasan Ali an-Nadawi di dalam bukunya إلى الإسلام من
جديد (Kembali semula Kepada Islam). Di bawah tajuk “Antara ilusi dan
realiti” (بين الصورة والحقيقة),
an-Nadawi telah memberikan suatu analogi yang sangat baik untuk difikirkan
bersama.
An-Nadawi membayangkan
bagaimana seorang pemimpin hebat yang telah mati, dikenang oleh pengikutnya
dengan membina sebuah patung yang besar dan amat menyerupai rupa pemimpin itu
semasa hayatnya. Tetapi pada suatu hari, seekor burung datang bertenggek di
atas hidung “pemimpin” tersebut dan melepaskan najisnya. Patung yang besar dan
gagah itu tidak mampu berbuat apa-apa terhadap burung yang kecil itu, walaupun
di kaki patung itu terpahat nama seorang pemimpin yang semasa hidupnya digeruni
kawan dan lawan.
Mengapakah kejadian
itu boleh berlaku? Mengapakah pemimpin yang hebat itu terhina hanya oleh seekor
burung yang kecil?
An-Nadawi mengulas
analogi ini dengan mengemukakan konsep ilusi versus realiti.
Patung itu walaupun
besar, gagah dan hebat, malah memiliki peribadi seorang pemimpin yang agung
semasa hidupnya, adalah hanya “seorang patung”. Ia hanya sebuah gambaran.
Sebuah ilusi. Manakala burung tersebut, walaupun kecil dari segi saiznya, ia
adalah burung yang hidup. Burung itu walaupun kecil, namun ia adalah realiti.
Sunnatullah telah
menetapkan bahawa realiti sentiasa mengalahkan ilusi.
Beginilah perihalnya
kita ketika berhadapan dengan musuh. Jika kita membaca al-Quran dan meneliti
ayat-ayat tentang Nasrani, kita akan dapati bahawa orang-orang Kristian hari
ini amat menepati watak mereka seperti yang digambarkan oleh al-Quran. Maka
orang-orang Kristian hari ini adalah Kristian sejati. Mereka adalah realiti.
Pertembungan kita terhadap mereka adalah pertembungan kita dengan sebuah
realiti.
Jika kita membuka
lembaran al-Quran dan mengkaji tentang Yahudi, maka kita akan dapati bahawa
keterangan al-Quran tentang karekter Yahudi amat selaras. Maka orang-orang
Yahudi hari ini adalah orang Yahudi sejati. Pertembungan kita dengan Yahudi
adalah pertembungan kita dengan sebuah realiti.
Namun, jika kita amati keterangan al-Quran tentang
ciri-ciri orang Islam dan Mukmin, apakah hasil pengamatan kita itu?
Apakah ciri-ciri kita
sebagai Muslim, sama dengan ciri Muslim yang digambarkan oleh al-Quran? Jika
al-Quran yang pantang dihina oleh kuffar itu bercakap tentang kualiti Muslim
pada akhlaqnya, pada aturan hidupnya, pada upaya dirinya ... apakah kita semua
wahai kaum Muslimin, sama seperti apa yang digambarkan oleh al-Quran?
BERCAKAPLAH DENGAN
JUJUR...
Bahawa sesungguhnya
kita amat jauh dari al-Quran. Kita amat berbeza dari keterangan al-Quran
tentang diri kita yang sebenar. Dalam erti kata yang lain, dunia ini didiami
oleh Yahudi dan Nasrani yang hakiki dan realiti, ketika Muslimnya hanya sekadar
ilusi. Sunnatullah menetapkan realiti sentiasa mengatasi ilusi, biar pun ilusi
itu besar jumlahnya, mengatasi Catholic buat pertama kali dalam sejarah, bagai
laporan Vatican City tempoh hari.
Betapa perbuatan kita
itu telah menimbulkan kekeliruan dan kesulitan yang amat sangat untuk manusia
mengenal dan memahami apa itu Islam. Yusuf Islam (Cat Stevens) sendiri
mengakui, beliau bertuah kerana bertemu Islam sebelum bertemu Muslim! Golongan
yang mahu mengenali Islam, terpaksa mengambil jalan yang susah untuk
mempelajarinya kerana mereka terpaksa memaksa diri untuk mengasingkan al-Quran
dan Islam Tekstual, dengan Muslim dan kelakuannya yang ada di depan mata.
Tanyalah kepada bangsa
Melayu di bumi ini, mengapakah selepas 50 tahun kita berkongsi tanah hidup
selorong dengan kaum Cina dan India yang tidak Islam itu, jumlah mereka yang
terbuka hati kepada Islam masih terlalu kecil? Bukan sahaja kecil, malah
ketakutan terhadap Islam dan Muslim bertambah-tambah! Tanyalah kepada tokoh
yang memeluk Islam seperti Ustaz Hussein Yee atau Ustaz Farid Ravi, Brother
Shah Kirit atau Brother Lim Jooi Soon, Sifu Nasir dan ramai lagi, bagaimanakah
jalan dan liku mereka mencari Islam di celah-celah Muslim?
Oleh kerana itu, saya
menyeru kepada diri saya dan kita semua, bahawa sebelum kita mahu bangkit
melenting dengan penghinaan sesiapa terhadap Islam, tanyalah kepada diri
sendiri, apakah Islam itu selama ini mulia di tangan kita?
Apakah Islam berjaya
diperlihatkan kemuliaannya dengan adanya kita ini sebagai Muslimnya? Apakah
nilai yang ada pada kita untuk mengangkat kemuliaan Islam?
Sesungguhnya, sebelum
Salman Rushdi atau Geert Wilders muncul dengan penghinaannya terhadap Islam
secara bermusim, kitalah si kaum Muslim yang menghina Islam sehari-harian
dengan kemunduran akal, akhlaq dan segala yang kita ada atas nama Islam!
TIDAK LAYAK
KESUCIAN ISLAM DIBELA OLEH KEKOTORAN MUSLIM
Tidak akan terbela
Islam oleh hati, mulut dan tangan yang kotor seperti hati, mulut dan tangan kita.
Allah tidak akan izinkan IslamNya diperjuangkan oleh manusia pengotor seperti
kita. Tidak bersih palitan lumpur jika air yang menyimbahnya juga cemar dan
cela.
Sesungguhnya proses
untuk memperjuangkan kesucian Islam sebenarnya adalah proses menyucikan Muslim.
Semasa kita menyucikan diri dari pemikiran, amalan dan akhlaq yang kotor,
ketika itulah kemuliaan Islam akan menyerlah.
Sucikanlah dirimu
wahai Muslim, nescaya mulialah Islam, tanpa dipaksa-paksa, tanpa diminta-minta.
Tidak ada apa yang perlu kamu buktikan kepada dunia dengan tempik sorak itu. Ditertawa
ketika melawak adalah biasa. Tetapi ditertawa ketika menunjuk marah, itulah
kemuncak hina.
Sesungguhnya kegerunan
musuh kepada kamu hanya akan muncul apabila kamu layak digeruni, iaitu apabila
Islam dan Muslim, kembali bersatu. Tiada lagi Islam di satu lembah, dan
Muslim di satu lembah yang lain. Penghormatan dunia kepada Islam dan Muslim
tidak perlu dipaksa-paksa, tidak perlu didesak-desak. Hormat datang sendiri
... apabila kita layak menerimanya.
“Hampir tiba masanya
kamu akan diserbu oleh bangsa-bangsa lain (musuh-musuh kamu), sebagaimana
orang-orang lapar mengadap hidangan di dalam jamuan”. Sahabat bertanya, “apakah
semua itu berlaku disebabkan oleh jumlah kami yang sedikit?”. Rasulullah S.A.W menjawab,
“bahkan ketika itu jumlah kamu amat ramai, tetapi ramainya kamu tidak lebih
dari seumpama buih di permukaan banjir. Allah akan mencabut dari hati
musuh-musuh kamu rasa gerun mereka terhadap dirimu, dan dimasukkan ke hatimu
penyakit AL-WAHAN”. Seorang sahabat bertanya, “Ya Rasulallah, apakah al-wahan
itu?” Jawab Rasulullah SAW “ialah cinta dunia dan takut menghadapi maut”.
(Hadith riwayat Abu Daud daripada Sauban).
Oleh Ustaz Hasrizal
Abdul Jamil @ Saiful Islam