Jangan menghina barang yang kecil kerana jarum yang kecil itu kadang-kadang menumpahkan darah.
Jiwa yang tidak membaca Al-Quran umpama telefon bimbit yang kehabisan bateri. Betapa canggih sekalipun fungsinya dan betapa mahal sekalipun harganya, ia tetap tidak berguna jika kehabisan bateri. Begitulah jiwa yang mati, betapa segak, cantik, bertenaga dan anggun sekalipun jasad luaran seseorang, tanpa Al-Quran segalanya tidak bermakna.

21 October, 2009

Dr. 'Ali Jumu'ah, Mufti Mesir


Nama penuh beliau ialah ‘Ali Jumu’ah Muhammad Abdul Wahab.

Dilahirkan pada 3 Mac 1952 di Bani Suef, Mesir. Mendapat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang perniagaan di Universiti ‘Ain Syams pada tahun 1973. Seterusnya Ijazah Sarjana Muda dari Fakulti Pengajian Islam dan Arab, Universiti Al-Azhar pada tahun 1979. Kemudian berjaya meraih M.A dengan pangkat Cemerlang dalam bidang Usul Fiqh, Fakulti Syari’ah wal Qanun, Universiti Al-Azhar pada tahun 1985. Manakala pada tahun 1988, beliau telah menyelesaikan pengajian peringkat Phd dalam bidang dan dari universiti yang sama dengan keputusan Syaraf al-Uula @ Terbaik / Tertinggi.

Dr. ‘Ali Jumu’ah juga telah mendapat sanad-sanad tertinggi dalam ilmu-ilmu syar’iyyah, dan ijazah-ijazah daripada sekian ramai ulama’-ulama’ yang muktabar.

Beliau mula memegang jawatan Mufti Republik Arab Mesir pada tahun 2003 sehingga kini. Sebelum itu, sebagai pensyarah Usul Fiqh di Fakulti Pengajian Islam dan Arab (lelaki), di Universiti Al-Azhar, Kaherah. Berpengalaman dalam pelbagai jawatan di pelbagai jabatan, badan dan pertubuhan di samping menerima jemputan dalam banyak persidangan samada dalam negara mahupun antarabangsa seperti di India, Amerika Utara, Sultanah ‘Omman, Washington, Malaysia, Universiti Oxford, Maghribi @ Marocco, Rusia, Spanyol, Kuwait, Jordan, Pakistan dan banyak lagi.

Ketinggian ilmu Dr. ‘Ali dapat dilihat apabila lebih daripada 20 buah kitab telah ditulis sendiri oleh beliau. Ditambah lagi dengan lebih daripada 6 buah kitab yang di tahqiq atau diperiksa semula oleh beliau. Di Masjid Al-Azhar dan beberapa buah masjid yang lain sekitar Kaherah, beliau masih aktif menyampaikan ilmunya sama ada dalam bidang tafsir mahupun fiqh.

Semoga Allah memanjangkan umur Dr. ‘Ali agar kami dapat terus menimba mutiara ilmu dari beliau dan moga Allah sentiasa memberkati serta mengampunkannya.

04 October, 2009

Apa Erti Komitmen Aktivis Dakwah?

Hati saya tersentak dan berasa terpukul tatkala membaca kata-kata pengantar buku “Apa Erti Komitmen Aktivis Dakwah”, karangan Syeikh Muhammad Abduh yang diterjemah oleh Ustaz Abdul Arham bin Mat. Saya syorkan kepada seluruh warga Malaysia yang berada di Mesir agar mendapatkan buku yang sangat cantik isi kandungannya ini. Saya tidak pasti sama ada buku ini telah diedarkan di Malaysia atau belum. Walaubagaimanapun, sila hayati petikan berikut;

****************

“Untuk seorang pendakwah, menyeru kepada kebaikan sementelahan dia tidak melakukannya adalah merupakan bencana dan malapetaka yang besar. Bukan hanya kepada para aktivis dakwah sahaja tetapi akan memberi implikasi kepada dakwahnya. Sikap itulah yang akan membingungkan hati manusia, kerana mereka mendengarkan kata-kata yang indah dan pada masa yang sama mereka menyaksikan perbuatan yang tercela, sehingga mereka menjadi bingung di antara perkataan dan perbuatan. Akhirnya semangat yang dipancarkan oleh akidah mereka menjadi redup, sinar yang dijelmakan oleh keimanan dalam hati mereka menjadi mati. Sudah tidak ada lagi kepercayaan kepada agama selepas hilangnya kepercayaan mereka kepada para pemimpin agama.

Perkataan-perkataan yang keluar menjadi hambar walaupun ianya diungkapkan dengan gaya dan intonasi yang memikat. Ini kerana kata-kata itu tidak keluar daripada hati yang meyakininya. Sesungguhnya manusia tidak pernah percaya terhadap kata-kata itu kecuali ada realiti dalam kehidupan yang boleh disaksikan dan dipertontonkan. Pada ketika itu manusia mulai akan mempercayainya, walaupun kata-kata itu diucapkan tidak dengan intonasi dan suara yang menarik. Ini kerana kekuatan kata-kata itu akan terpancar daripada praktikal dan realisasinya bukan daripada hiasannya. Indahnya kata-kata itu akan terpancar daripada kejujurannya bukan daripada kuatnya suara sehingga ia menjadi sesuatu ketika akan berubah dan menjadi hentakan kehidupan kerana kata-kata itu terpancar daripada kehidupan.

Untuk itulah dalam bab ini akan dijelaskan tanda-tanda keimanan yang jujur kepada dakwah, hakikat komitmen terhadap dakwah dan bagaimanakah prinsip-prinsip dan slogan-slogan itu menjadi realiti yang akan disaksikan oleh semua orang samada dari jauh mahupun dekat.

Oleh kerana para aktivis dakwah tidak merealisasikan prinsip-prinsip, ciri-ciri dan slogan-slogan dakwahnya maka dia akan menjadi penghancur dakwah serta menjadikan orang lain menghalang dan menghinakannya. Ini kerana mereka mendengar kata-kata semanis madu dan menyaksikan perbuatan yang pahit umpama racun. Bagaimanakah manusia mahu mengikuti individu yang hanya berkata-kata dengan bibirnya sesuatu yang tidak ada dalam hatinya dan menyeru kebaikan sementara dia tidak melakukannya.

Apakah ciri-ciri komitmen yang sebenar, dan bagaimanakah komitmen saya terhadap dakwah?”

**********************

Sekali lagi, saya ingin utarakan bahawa buku ini patut dimiliki oleh mereka yang mendakwa dirinya sebagai pendakwah ataupun bakal pendakwah.

29 September, 2009

mengaji di Universiti Cairo


Saya pernah berangan-angan ingin menyambung pengajian peringkat M.A di Universiti Kaherah ataupun Cairo University @ Jami'ah al-Qahirah, (sila rujuk http://sobahicairo.blogspot.com/2008/11/liku-liku-sambung-mengaji.html) malahan telah menghantar borang permohonan berserta dokumen-dokumen yang diperlukan. Tetapi, akhirnya saya menarik balik permohonan itu memandangkan yurannya yang terlalu mahal.

Takdir Allah menentukan, pada 27 dan 28 September baru-baru ini, saya berpeluang mengikuti suatu seminar di Universiti Cairo yang bertajuk, "International Conference on Malaysia: Malaysia in Global Perspective" dan bertempat di Dewan Fakulti Ekonomi dan Sains Politik, Universiti Cairo. Program ini dianjurkan oleh Jabatan Pengajian Malaysia, Universiti Cairo dengan kerjasama Universiti Malaya.

{tak dapat mengaji di universiti ini.... dapat berkursus pun jadilah}

Selama dua hari ini, sebanyak 17 buah kertas kerja telah dibentangkan yang mana sub-tema seminar tersebut lebih tertumpu kepada isu-isu pendidikan, ekonomi, politik, pengurusan, dasar luar negara, agrikultur, perindustrian, teknologi dan ICT, serta kepelbagaian masyarakat dan toleransi agama. Para pembentang pula terdiri daripada pensyarah-pensyarah dari Mesir yang dimonopoli oleh pensyarah Universiti Cairo sendiri dalam Bahasa Arab dan delegasi dari Malaysia yang majoritinya pensyarah Universiti Malaya dengan menggunakan Bahasa Inggeris.

{sebenarnya saya lemah Bahasa Inggeris, tapi hari tu faham jugaklah sikit2. kira ok lah}

Saya tidak berani untuk menghurai lebih-lebih kerana khuatir berlaku kekeliruan maklumat. Cuma satu yang hendak disebarkan di sini ialah salah seorang ahli akademik yang membentangkan kertas kerja itu ada menyatakan bahawa dalam sekian banyak negeri di Malaysia, Kelantan adalah sebuah negeri yang paling cepat membayar segala hutang piutangnya kepada Kerajaan Pusat berbanding negeri-negeri yang lain. Jadi atas dasar apa, negeri ini dikatakan mundur dan terkebelakang daripada negeri-negeri yang lain? (beliau menyebutkan fakta ini dalam Bahasa Melayu)

sekian

26 September, 2009

Buat mahasiswa/wi baru Al-Azhar yang akan tiba ke Mesir

Kali ini saya lampirkan gambar-gambar bangunan Universiti Al-Azhar sekitar Kaherah sahaja. Kalau diikutkan, sebenarnya banyak lagi. Tapi cukuplah setakat ini. Saja2




Masjid Khazindarah, Ma'had Qira'at Al-Quran, Syubro


Fakulti Syari'ah


Fakulti Usuluddin


Fakulti Da'wah Islamiyyah

Fakulti Bahasa Arab (Kulliyyah Lughoh)


Fakulti Perubatan