Jangan menghina barang yang kecil kerana jarum yang kecil itu kadang-kadang menumpahkan darah.
Jiwa yang tidak membaca Al-Quran umpama telefon bimbit yang kehabisan bateri. Betapa canggih sekalipun fungsinya dan betapa mahal sekalipun harganya, ia tetap tidak berguna jika kehabisan bateri. Begitulah jiwa yang mati, betapa segak, cantik, bertenaga dan anggun sekalipun jasad luaran seseorang, tanpa Al-Quran segalanya tidak bermakna.

02 November, 2011

Cinta Luar Biasa


Cinta luar biasa..
Cinta seorang kekasih kepada umatnya
Hingga pada hembusan nafasnya yang terakhir
Lidah Rasulullah menuturkan tanpa henti
Ummatii.. ummatii.. ummatii..

Cinta luar biasa..
Kisah cinta Handzalah
Meninggalkan isteri di malam pernikahan
Lantaran menyahut seruan jihad
Akhirnya syahid di medan perjuangan

Cinta luar biasa..
Seteguh kasih Khadijah
Tak pernah jemu memberikan sokongan
Rela mengorbankan segala kemewahan
Di saat Rasulullah dan Islam dipinggirkan

Cinta luar biasa..
Kisah kesetiaan Abu Bakar
Kasih seorang sahabat yang tiada tandingan
Insan yang sentiasa membenarkan
Sewaktu kata-kata Rasulullah dipersendakan

Cinta luar biasa..
Kisah ketabahan Hajar
Ditinggalkan di tanah yang gersang bersama Ismail
Bukti kasih seorang ibu yang berlarian mencari air
Tatkala mendengar tangisan si anak kecil

Cinta luar biasa..
Umpama keberanian Ali
Di malam penghijrahan Nabi
Menggantikan Rasulullah di tempat tidurnya
Walaupun jiwa menjadi taruhan

Cinta luar biasa..
Cinta Asiah, Masyitah dan Sumayyah
Menggadaikan nyawa demi mempertahankan aqidah
Iman di dada tak sedikit pun goyah
Kerana keyakinan yang teguh atas segala janjiNya

Kisah cinta luar biasa..
Insan pilihan yang berada di atas jalanNya
Betapa tulusnya kasih, teguhnya jiwa
Redha dan sabar menempuh segala ujian
Merekalah insan yang memahami erti kemanisan iman


Mampukah diri ini meraih cinta luar biasa..??

رَبَّنَا اغْفِرْلَنَا وَلإخْوَانِنَا الَّذِيْنَ سَبَقُوْنَا بِالإيْمَانِ وَلا تَجْعَلْ فِي قُلُوْبِنَا غِلاًّ لِلَّذِيْنَ ءَامَنُوا رَبَّنَا إنَّكَ رَؤُوفٌ رَحِيْمٌ

Ya Tuhan kami.. Beri keampunan kepada kami dan saudara-saudara kami yang telah beriman lebih dahulu dari kami, dan janganlah Engkau membiarkan perasaan hasad dalam hati kami terhadap orang-orang yang beriman.. Ya Tuhan kami.. Sesungguhnya Engkau Maha Penyantun lagi Maha Penyayang.. (al-Hasyr: 10)

30 October, 2011

kongsi ilmu


Assalamualaikum..
sebagai duta yang Allah lantik atas muka bumi ni..kita sebenarnya kena siapkan diri dengan banyak perkara..

maka... jawapannya ada pada diri masing-masing... bersedia atau tidak...?

perhatikan....

soalan: "Apa yang kita boleh bagi kalau kita tak ada ilmu?"
jawapan: "Bagilah ilmu yang kita ada"...

23 October, 2011

TAMAK

ANJING DENGAN BAYANG-BAYANG
Pada suatu hari, seekor anjing yang kelaparan merayau-rayau di sebatang lorong untuk mencari makanan. Akhirnya ia berjumpa seketul tulang di dalam sebuah tong sampah. Anjing itu terus menggonggong tulang itu dan berlari menuju ke rumahnya. Dalam perjalanan anjing itu melalui sebuah jambatan di atas sebatang anak sungai. Sambil meniti jambatan, anjing itu terpandang bayang-bayangnya di permukaan sungai. Ia menyangka ada seekor anjing lain dengan seketul tulang. Perasaan tamak mula menguasai dirinya. Anjing itu ingin mendapatkan 'tulang' daripada 'anjing' itu. Tanpa berfikir panjang, ia pun menyalak. Sebaik saja ia membuka mulutnya untuk menyalak, tulang yang digonggongnya pun jatuh ke dalam sungai. Anjing itu menyesal kerana tulang yang dijumpainya tadi terjatuh ke dalam sungai disebabkan sifat tamaknya.
MORAL & IKTIBAR
  • Sifat tamak adalah sifat mazmumah yang dicela Allah
  • Orang yang telah dikuasai sifat tamak selalunya akan menghalalkan apa cara saja asalkan apa yang dikehendakinya itu boleh diperolehinya; tanpa mengambil kira halal atau haram.
  • Orang yang bersifat tamak mengumpulkan harta dan wang ringgit biasanya tidak akan berhenti dari melonggokkannya selagi dia tidak diikat dengan kain kafan di kaki dan kepalanya (mati).
  • Sifat zuhud (memada apa yang ada) adalah sifat terpuji yang perlu dibentuk dalam diri kita
  • ORANG TAMAK SENTIASA DALAM KEADAAN MISKIN WALAUPUN SUDAH KAYA-RAYA. Sebaliknya orang zuhud adalah pada hakikatnya kaya kerana mereka tidak memerlukan apa-apa lagi.
  • Manusia yang tamak jika diberikan segunung emas akan berusaha untuk mendapatkan gunungan emas yang lain. Mereka akan berhenti mencari kekayaan hanya apabila dimatikan.
  • Senario yang berlaku di negara kita dewasa ini adalah contoh angkara sifat tamak manusia yang ingin mengumpulkan harta dunia untuk diri dan kroni. Malahan sanggup melakukan pembohongan terbesar serta kezaliman yang tiada tandingannya di zaman ini. Mereka menghalalkan apa jua cara, menyalahgunakan segala kuasa yang ada sehingga sanggup membutakan mata, memekakkan telinga, mematrikan hati, menjerebukan fikiran serta berlaku ganas menahan/menyeksa orang yang dianggap sebagai penghalang kepada nafsu rakusnya. Inilah Firaun dan Qarun Zaman Multimedia Super Corridor.
  • Amaran Nabi: Apabila mencecah umur 40-an tapi kejahatannya masih melebihi kebaikan, maka bersiap sedialah (gulung tikar bantal) untuk masuk ke neraka.

28 August, 2011

Sunnah Nabi S.A.W pada Hari Raya


Kegembiraan umat Islam menjelangnya Hari Raya Aidilfitri tidaklah bererti kita menyambutnya sebagaimana kaum-kaum yang lain bersuka ria pada hari-hari kebesaran mereka.

1. Sebelum pergi menunaikan solat sunnah Hari Raya Aidilfitri, Baginda SAW akan mengenakan pakaiannya yang terbaik, kemudian menjamah tamar dengan bilangan butiran ganjil iaitu tiga, lima atau tujuh biji. Hal ini berlainan dengan Hari Raya Aidiladha di mana Baginda SAW imsak (tidak makan) sebelum menunaikan solat sunnah Hari Raya Aidiladha.

2. Baginda SAW akan berpesan agar kaum muslimin menyegerakan pembahagian zakat fitrah kepada mereka yang berhak, manakala solat sunnah Aidiladha disegerakan supaya umat Islam dapat mempercepatkan urusan sembelihan korban. Mengenai hal tersebut, Allah Ta 'ala berfirman: "Maka dirikanlah solat kerana Tuhanmu dan berkorbanlah! " (Al Kautsar: 2).

3. Ibnu Umar RA kerana mahu bersungguh menghayati sunnah Nabi SAW, beliau hanya akan keluar untuk pergi menunaikan solat sunnah selepas terbitnya matahari dan di sepanjang perjalanan beliau akan terus bertakbir dan bertahmid memuji Allah SWT.

4. Nabi SAW akan mengerjakan solat sunnah itu sebelum berkhutbah. Di dalam solat berkenaan, Baginda SAW akan bertakbir sebanyak 7 kali dan berhenti seketika. Hanya Riwayat Ibnu Mas'ud sahaja yang menjelaskan bahawa Nabi SAW membaca Hamdalah dan berselawat di antara takbir-takbir itu. Pada rakaat yang kedua, takbir adalah sebanyak lima kali. Diriwayatkan juga bahawa Ibnu Umar RA mengangkat kedua-dua tangannya semasa bertakbir.

5. Pada rakaat pertama Nabi SAW akan membaca Al-Fatihah dan Surah Al-Qaf dan di rakaat yang kedua pula Al-Fatihah bersama Surah Al-Qamar. Kadang-kadang Baginda SAW akan membaca Surah Al-A'la dan Surah Al-Ghasyiah.

6. Nabi SAW tidak mengerjakan sebarang solat sebelum atau selepas solat sunnah hari raya itu. Dari Ibnu Abbas RA, beliau berkata : "Sesungguhnya Nabi SAW menunaikan solat Aid dua rakaat tanpa disertai solat yang lain baik sebelumnya mahu pun sesudahnya. " (HR. Al Bukhari dan Muslim dan yang lain).

HUBBUN NABI