Jangan menghina barang yang kecil kerana jarum yang kecil itu kadang-kadang menumpahkan darah.
Jiwa yang tidak membaca Al-Quran umpama telefon bimbit yang kehabisan bateri. Betapa canggih sekalipun fungsinya dan betapa mahal sekalipun harganya, ia tetap tidak berguna jika kehabisan bateri. Begitulah jiwa yang mati, betapa segak, cantik, bertenaga dan anggun sekalipun jasad luaran seseorang, tanpa Al-Quran segalanya tidak bermakna.

04 August, 2011

5 yang istimewa pada Ramadhan


Hadis Puasa - Abu Hurairah (ra) telah meriwayatkan bahawa Rasulullah (saw) bersabda:

"Umatku telah dikurniakan dengan lima perkara yang istimewa yang belum pernah diberikan kepada sesiapa pun sebelum mereka. Bau mulut daripada seorang Islam yang sedang berpuasa adalah terlebih harum di sisi Allah daripada bau haruman kasturi.

Ikan-ikan di lautan memohon istighfar (keampunan) ke atas mereka sehinggalah mereka berbuka puasa.

Allah mempersiapkan dan menghiasi Jannah yang khas setiap hari dan kemudian berfirman kepadanya: 'Masanya telah hampir tiba bilamana hamba-hambaKu yang taat akan meninggalkan segala halangan-halangan yang besar (di dunia) dan akan mendatangimu.'

Pada bulan ini syaitan-syaitan yang durjana dirantaikan supaya tidak menggoda mereka ke arah maksiat-maksiat yang biasa mereka lakukan pada bulan-bulan selain Ramadhan.

Pada malam terakhir bulan Ramadhan (orang-orang Islam yang berpuasa ini) akan diampunkan. " Maka sahabat-sahabat Rasulullah (saw) pun bertanya: "Wahai Pesuruh Allah, adakah itu malam Lailatul Qadar?" Dijawab oleh Rasulullah (saw): "Tidak, tetapi selayaknyalah seorang yang beramal itu diberi balasan setelah dia menyempurnakan tugasnya. "

02 August, 2011

5 perkara


Alhamdulillah, Allah SWT masih sudi memanjangkan umurku untuk menikmati RAMADHAN AL-MUBARAK pada tahun ini. Mudah-mudahan beroleh keberkatan dalam hidup dan semakin bertenaga untuk memberi manfaat kepada Islam.

Aku mencari 5 perkara dan mendapatinya di dalam 5 perkara:-

1)Aku mencari keberkatan keperluan hidup,aku mendapatinya dalam SOLAT DHUHA.

2)Aku mencari penerang untuk alam kubur,aku mendapatinya di dalam SOLAT MALAM.

3)Aku mencari jawapan untuk menjawab soalan malaikat,aku mendapatinya dalam MEMBACA AL-QURAN.

4)Aku mencari alat untuk berpegang ketika menyeberang titian Sirat, aku mendapatinya di dalam PUASA dan SEDEKAH.

5)Aku mencari naungan 'Arasy, aku mendapatinya dalam mengasingkan diri beribadah kepada Allah subhanahuwataala.

*Ya Allah....Ya Tuhanku redhokan pencarian kami, naungi kami dengan rahmat dan kasih sayang darimu .amin....

18 July, 2011

cantiknya wanita itu...

cantiknya seorang wanita itu sebagai gadis
bukan kerana merah kilau lipstiks
pada wajah memekar senyum kosmetik


cantiknya seorang wanita itu sebagai remaja
bukan pada kulitnya mulus menggebu terdedah

cantik seorang wanita itu sebagai kaum hawa

bukan kerana bijak meruntuh iman kaum adam


cantik seorang wanita itu sebagai anak solehah
tidak menjerat diri pada kedurhakaan dan kemurkaan ilahi

cantik seorang wanita itu sebagai intelektualis
menyala obor mewangi setanggi profesionalis

cantik seorang wanita itu sebagai isteri
merempuh badai di sisi suami

cantik seorang wanita itu sebagai menantu
menjauhi persekongkolan ipar duai

cantik seorang wanita itu sebagai ibu
mencurahkan sepenuh kasih sayang dengan adil

cantik seorang wanita itu sebagai mentua
telus hati mengagih kasih pada semua

cantik seorang wanita itu sebagai nenek
menyaring teladan para anbia buat cucu cicit

cantik seorang wanita itu sebagai warganegara
peka membela nasib maruah negara

cantik seorang wanita itu sebagai akidah solehah
mengandam rindu kekasih pasrah di atas sejadah

cantik seorang wanita itu sebagai muslimat
tunjang agama pewaris nadi Islam
menyumbang jasa dan bakti
memartabatkan Islam di persada dunia insya Allah

cantikkan seorang wanita itu..?


al-Fatihah buat Dr. Lo'lo'

13 July, 2011

10 Kunci ke persahabatan yang baik.


1) Mempunyai persamaan, tetapi jangan mengetepikan orang yang langsung tidak mempunyai persamaan dengan anda, bersikap terbuka, baik untuk anda.

2) Ingatlah pada satu pedoman penting iaitu berlaku baik terhadap orang lain sebagaimana anda suka diperlakukan. Sekiranya anda menghormati orang lain, orang lain akan menghormati anda juga.

3) Sedarlah bahawa tiada siapa yang sempurna, setiap orang mempunyai sifat-sifat aneh dan kecacatan, dan menerima kecacatan antara satu sama lain adalah kunci persahabatan yang baik.

4) Hargai pendapat satu sama lain.

5) Sedarlah bahawa kawan yang rapat sekalipun tidak dapat bersama 24 jam. Bina minat-minat yang lain dan jangan cemburu apabila kawan anda mempunyai minat-minat yang lain juga.

6) Komunikasi sangat penting. Kawan anda tidak boleh membaca fikiran anda. Sekiranya ada sesuatu yang menjejaskan persahabatan anda, beritahulah.

7) Jangan biarkan faktor luaran seperti tekanan (stress) menjejaskan persahabatan anda. Kawan yang baik akan membenarkan anda melepaskan perasaan kepada mereka, tetapi jangan hanya mempergunakan mereka untuk melepaskan perasaan ... dan sebagai balasan anda sepatutnya bersedia untuk mendengar luahan perasaan mereka pula.

8) Belajar daripada satu sama lain.

9) Jangan mengata di belakang kawan anda.

10) Pilih kata-kata anda dengan bijaksana kerana anda tidak boleh menariknya kembali.