Jangan menghina barang yang kecil kerana jarum yang kecil itu kadang-kadang menumpahkan darah.
Jiwa yang tidak membaca Al-Quran umpama telefon bimbit yang kehabisan bateri. Betapa canggih sekalipun fungsinya dan betapa mahal sekalipun harganya, ia tetap tidak berguna jika kehabisan bateri. Begitulah jiwa yang mati, betapa segak, cantik, bertenaga dan anggun sekalipun jasad luaran seseorang, tanpa Al-Quran segalanya tidak bermakna.

23 September, 2013

2-1=0



Dari segi ilmu metamatik, jawapan pengiraan di atas memang salah. Budak tadika pun tahu apa jawapan betul yang sepatutnya.

Hakikatnya, itulah pengiraan dalam Islam. Pengakhiran hidup kita hanyalah dua, samada baik atau sebaliknya. Pekerjaan dan perlakuan kita hanya mempunyai dua balasan, pahala atau dosa. Tiada setengah atau suku darinya.

Formulanya senang. Segala kebaikan dan kebajikan yang kita lakukan, sejajar dengan syariat Islam, maka ganjaran pahalalah untuk pelakunya. Perintah dan suruhanNya yang kita lakukan dengan baik dan menepati garis panduan, juga pahala sebagai balasan.

Dan sebaliknya. Sesungguhnya Allah tidak menganiaya seseorang walaupun sebesar zarah, dan jika ada kebajikan sebesar zarah, niscaya Allah akan melipat gandakannya dan memberikan dari sisi-Nya pahala yang besar.(Surah An-Nisaa’: 40)

Barang siapa yang mengerjakan dosa, maka sesungguhnya ia mengerjakannya untuk (kemudaratan) dirinya sendiri. Dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.(An-Nisaa’: 111)

Aplikasi Secara logiknya, adakah seseorang yang bertudung, tapi menampakkan susuk tubuh yang tidak sepatutnya dikira menutup aurat? Semestinya tidak. Apakah pelakunya akan mendapat ganjaran pahala atau sebaliknya? Dari pemahaman formula di atas, kosong jawapannya.

Begitu juga dalam pemahaman tentang solat. Melakukan solat tanpa mematuhi rukun solat, adakah sah solat kita? Semua setuju jika jawapannya tidak. Harus lengkapi syarat-syarat yang sepatutnya.

Pening melihatkan stail tudung yang muncul dengan pelbagai fesyen dan corak. Stailnya dipadankan dengan contoh artis yang bertudung, kononnya menjadi ikon untuk muslimah bertudung. Gejala bertudung memang berkembang pesat di Malaysia dan ia memang dapat dibanggakan. Tapi, cuba pandang dua kali, adakah tudung yang dipakai menepati syara' Islam?

Allah memberikan garis panduan seperti yang termaktub dalam surah An-Nur, ayat 31


Katakanlah kepada wanita yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain kudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya, kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau putra-putra mereka, atau putra-putra suami mereka, atau saudara-saudara laki-laki mereka, atau putra-putra saudara laki-laki mereka, atau putra-putra saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita Islam, atau budak-budak yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan laki-laki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita.

Perintah Allah menyatakan pemakaian tudung perlulah menutupi dada. Namun, banyak salah faham yang berlaku. Rata-rata yang bertudung tidak menepati hukum aurat. Bentuk dada masih didedahkan padahal rambut dan leher elok bertutup. Apa yang mereka dapat?

Wahai para muslimah yang membaca artikel ini, bertudunglah mengikut panduan dan syariat Islam. Bertudung bukan semata-mata menutup rambut, tapi perlulah menutupi dada juga.

Dalam menutup aurat, Islam menetapkan pakaian seseorang muslimah perlulah meliputi seluruh tubuh wanita longgar, tidak nipis, bukan pakaian yang mempunyai nilai untuk bermegah-megah dengannya dan tidak menyamai pakaian lelaki. 




Wahai para suami, ajarkanlah perkara ini kepada isteri anda.

Praktikal 2-1=0 juga untuk syariat-syariat Islam yang lain. Konsepnya mudah. Lakukan perintah Allah dengan mematuhi syarat-syaratnya, pahala akan kita dapat. Satu syaratnya kita abaikan, dosa yang diperolehi oleh kita. Kadangkala, konsep ini kita terlepas pandang.



Semoga beroleh hidayah.  ÙˆØ§Ù„له أعلم

05 September, 2013

Jantung Bukan Hati




Disiarkan pada Apr 14, 2010 dalam kategori Dakwah |

kolumnis_mohdasri_ v3.png

Pernah seorang pakar jantung bertanya saya tentang sabda Nabi s.a.w: “Ketahuilah bahawa dalam jasad ada seketul daging, apabila baik maka baiklah jasad, apabila rosak maka rosaklah jasad. Ketahuilah ia adalah hati!”. Dia bertanya saya mengapakah Nabi s.a.w menyebut ‘hati’ tidak menyebut jantung sedangkan jantung adalah organ terpenting dan penentu dalam tubuh manusia.

Saya jawab: Dalam hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim itu, Nabi s.a.w tidak pernah menyebut ‘hati’, sebaliknya menyebut al-qalb iaitu jantung. Adapun hati dalam bahasa Arab disebut kabid. Namun, malangnya dalam bahasa Melayu jantung selalu diterjemah sebagai hati. Sedangkan bahasa Inggeris menterjemah dengan betul iaitu ‘heart’ yang bermaksud jantung.

Cumanya, orang Melayu menterjemahkan ‘you are in my heart’ sebagai ‘awak dalam hatiku’ padahal hati dalam bahasa Inggeris ‘liver’ bukan ‘heart’. Namun ‘heart attack’ tetap sebagai serangan jantung, tidak pula serangan hati.

Begitu ‘heart disease’ sebagai penyakit jantung. Mungkin kerana ia berkaitan sakit, jika salah terjemah buruk padahnya. Jangan sampai doktor yang sepatutnya membedah jantung dibedahnya hati. Orang boleh derma hati dan terus hidup, namun tidak mungkin boleh derma jantung dan terus hidup.

Qalb dan Qulub

Al-Quran dan Sunnah menggunakan perkataan qalb (jantung) atau qulub (jantung-jantung) sebagai kata jamak atau plural untuk qalb. Sejak dahulu perkataan qalb difahami oleh orang Arab sebagai organ yang tergantung dalam tubuh manusia.

Dalam kamus rujukan bahasa Arab yang terpenting, iaitu Lisan al-‘Arab, pengarang Ibn Manzur (meninggal 711H) menyatakan: Al-Qalb: segumpal daging dari fuad (jantung) yang tergantung dengan urat besar tempat ia bergantung” (Ibn Manzur, Lisan al-‘Arab 1/687, Beirut: Dar al-Fikr).

Disebabkan perkembangan ilmu perubatan, maka dalam kamus Arab moden takrifan lebih terperinci. Dalam al-Mu’jam al-Wasit disebut: “al-Qalb ialah organ berotot dalaman yang menerima darah daripada salur darah dan mengepam ke arteri” (al-Mu’jam al-Wasit, 2/753).

Ini sama dengan maksud jantung dalam Kamus Dewan Bahasa: “Organ berotot yang mengepam darah ke seluruh badan” (Kamus Dewan Bahasa Edisi Ke-3, 519).

Jelas, qalb atau kata jamaknya qulub yang digunakan oleh orang Arab, demikian digunakan oleh al-Quran dan Hadis tidak merujuk kepada hati, tetapi merujuk kepada jantung. Terjemahan Inggeris lebih tepat iaitu ‘heart’. Malangnya, hingga terjemahan heart dari Inggeris ke melayu juga tidak stabil kerana kadang-kadang diterjemah sebagai hati, kadang-kadang diterjemah sebagai jantung.
Kekeliruan

Kekeliruan dalam memberikan maksud qalbu atau heart ini telah menyebabkan Kamus Dewan Bahasa memberikan maksud perkataan hati yang pelbagai. Disebut dalam Kamus Dewan: “Hati: 1. organ dalam badan yang berwarna perang kemerah-merahan di dalam perut di bahagian sebelah kanan…2. = jantung.. 3. batin (tempat perasaan, pengertian). .”. (ibid, 445).

Sementara itu dalam satu artikel yang diterbitkan oleh Jurnal Bahasa DBP (Jilid 5, Bilangan 4, 2005) Imran Ho Abdullah dan Norsimah Mat Awal cuba memberikan maksud hati secara konsep dan metafora dalam bahasa Melayu. Artikel mereka itu berjudul “Pengkonsepsian dan Pemetaforaan Hati”.

Namun saya melihat, justifikasi bahasa di sudut konsep dan metafora yang cuba diberikan dan juga kepelbagaian maksud hati sehingga diterjemahkan salah satunya sebagai jantung, tetap mengelirukan bagi memahami maksud asal qalb dalam al-Quran dan Hadis.

Bahkan penyataan hati bermaksud jantung dalam bahasa Melayu itu sendiri boleh mengelirukan kerana keduanya organ yang berbeza. Apatahlagi, kajian saintifik moden benar-benar membezakan peranan antara kedua organ tersebut.

Jika pun boleh diterima, salah satu pengertian hati itu disebutkan oleh Kamus Dewan sebagai batin atau tempat perasaan. Ini hampir ada persamaan dengan maksud akal (al-‘Aql) yang sebut juga sebagai salah satu maksud qalb dalam Lisan al-‘Arab (m.s 687).

Maka perkataan qulub atau qalb dalam nas-nas Islam lebih tepat diterjemahkan sebagai jantung, atau jika hendak digunakan juga perkataan hati mungkin boleh disebut ‘jantung hati’. Sebahagian penulis atau pembicara suka menggunakan perkataan ‘kalbu’ seperti ungkapan dalam ‘dalam kalbuku ini’.

Perkataan kalbu dianggap sebagai ungkapan qalb yang dimelayukan. Ya, mungkin boleh, tetapi bagi yang mengetahui bahasa Arab ia agak berat sebab kalb iaitu dengan huruf ‘kaf’ (=kalb atau kalbun) dalam Bahasa Arab bermaksud anjing. Jika dengan huruf ‘qaf ‘ (=qalb atau qalbun) barulah bermaksud jantung.

Al-Quran dan Hadis

Hari ini dengan kemajuan sains dan teknologi, begitu banyak mukjizat sains dalam al-Quran dan Hadis ditemui. Maka, menterjemah perkataan qalb atau qulub dalam kedua sumber itu dengan maksud asalnya iaitu jantung adalah suatu kemestian. Jika tidak, nanti orang Melayu gagal memahami rahsia saintifik di sebalik perkataan tersebut. Amat besar perbezaan fungsi antara jantung dan hati!

Dengan itu kita sepatutnya menukar terjemahan ayat-ayat al-Quran seperti: “dalam hati-hati mereka ada penyakit” (al-Baqarah: 10) dengan “dalam jantung-jantung mereka ada penyakit”. Begitu juga: “mereka berkata dengan mulut-mulut mereka, apa yang tiada dalam hati-hati mereka” (Ali ‘Imran: 167), diterjemahkan “…apa yang tiada dalam jantung-jantung mereka”. Begitulah seterusnya. Bahasa Inggeris telah menterjemah dengan tepat seperti “in their hearts is disease..”, “..what was not in their hearts”.

Ini bukan kerana ingin menyalahkan bahasa kita yang telah berjalan sejak sekian lama. Namun, tujuannya bagi mendekatkan kefahaman secara lebih tepat penggunaan perkataan yang dipilih oleh al-Quran dan Hadis atau dalam Bahasa Arab. Perkembangan ilmu terutamanya sains juga mengajak kita lebih teliti terhadap istilah-istilah al-Quran dan Hadis ini. Sekali lagi, jantung bukan hati!

31 July, 2013

Tidak Bersih Islam Dengan Kekotoran Muslim



Saya ingin kongsikan sebuah artikel yang ditulis oleh al-Fadhil al-Ustaz Hasrizal Abdul Jamil yang juga dikenali sebagai Saiful Islam dalam Majalah i, bilangan 67, Mei 2008, bertajuk “TIDAK BERSIH ISLAM DENGAN KEKOTORAN MUSLIM”.

Sungguhpun artikel ini ditulis pada lima tahun yang lalu, namun saya merasakan ia tetap relevan dan ada kaitan ataupun wujud persamaan dengan isu “Alvin dan Vivian” yang kita dakwa mereka sebagai menghina kesucian bulan Ramadhan.

Berikut adalah kandungan artikel .....
**************
“Kita kena tunjukkan kepada orang-orang kafir yang kita orang Islam ini tidak semudah itu diperkotak-katikkan”, bentak seorang ‘pembela Islam’.

“Ya, biar mereka tahu siapa kita!”, tegas seorang yang lain.
“Ajar kafir laknat tu!”, berapi-apinya seorang  ‘pahlawan Islam’ yang seorang lagi.
 Tunjukkan! Buktikan! Biar mereka Nampak!

Itulah kalimah yang sering diulang-ulang dengan penuh emosi, atas alasan mahu mempertahankan kesucian Islam. Dan semakin kerap laungan itu diseru, semakin palsu kedengarannya di telinga. Bahawa Muslim memaksa dunia untuk mengakui kehebatan Islam.

Ironi sekali, isu penghinaan filem Fitna Geert Wilders muncul hampir serentak dengan laporan media bahawa buat kali pertamanya dalam sejarah, jumlah umat Islam sedunia telah mengatasi jumlah penganut Catholic, sebagaimana yang diumumkan oleh pihak Vatican City.

Sungguh memilukan. Tatkala Vatican City mengisytiharkan ‘kekalahan mereka’ kepada Muslim dari segi jumlah penganut, ketika itulah satu lagi siri penghinaan terhadap Islam muncul dalam versi filem pendek Fitna, hasil ‘kreativiti’ ahli politik berhaluan kanan Belanda, Geert Wilders.

Tiadakah sebarang makna kepada jumlah Muslim yang sebegitu ramai? Tidakkah sepatutnya jumlah seramai itu sudah cukup untuk menggertak musuh tentang ‘ketuanan Islam’? Bahawa Islam itu tinggi, dan tiada yang lebih tinggi mengatasinya? Bahawa, “jangan main-main dengan Islam!”

Persoalan-persoalan ini menghiris perasaan sesiapa sahaja yang merenung kehidupan ini dengan pandangan mata hati bahawa apa yang dicari adalah sebuah realiti, dan bukannya ilusi.

ILUSI DAN REALITI
Abu al-Hasan Ali an-Nadawi di dalam bukunya  إلى الإسلام من جديد (Kembali semula Kepada Islam). Di bawah tajuk “Antara ilusi dan realiti”  (بين الصورة والحقيقة), an-Nadawi telah memberikan suatu analogi yang sangat baik untuk difikirkan bersama.

An-Nadawi membayangkan bagaimana seorang pemimpin hebat yang telah mati, dikenang oleh pengikutnya dengan membina sebuah patung yang besar dan amat menyerupai rupa pemimpin itu semasa hayatnya. Tetapi pada suatu hari, seekor burung datang bertenggek di atas hidung “pemimpin” tersebut dan melepaskan najisnya. Patung yang besar dan gagah itu tidak mampu berbuat apa-apa terhadap burung yang kecil itu, walaupun di kaki patung itu terpahat nama seorang pemimpin yang semasa hidupnya digeruni kawan dan lawan.

Mengapakah kejadian itu boleh berlaku? Mengapakah pemimpin yang hebat itu terhina hanya oleh seekor burung yang kecil?

An-Nadawi mengulas analogi ini dengan mengemukakan konsep ilusi versus realiti.

Patung itu walaupun besar, gagah dan hebat, malah memiliki peribadi seorang pemimpin yang agung semasa hidupnya, adalah hanya “seorang patung”. Ia hanya sebuah gambaran. Sebuah ilusi. Manakala burung tersebut, walaupun kecil dari segi saiznya, ia adalah burung yang hidup. Burung itu walaupun kecil, namun ia adalah realiti.

Sunnatullah telah menetapkan bahawa realiti sentiasa mengalahkan ilusi.

Beginilah perihalnya kita ketika berhadapan dengan musuh. Jika kita membaca al-Quran dan meneliti ayat-ayat tentang Nasrani, kita akan dapati bahawa orang-orang Kristian hari ini amat menepati watak mereka seperti yang digambarkan oleh al-Quran. Maka orang-orang Kristian hari ini adalah Kristian sejati. Mereka adalah realiti. Pertembungan kita terhadap mereka adalah pertembungan kita dengan sebuah realiti.

Jika kita membuka lembaran al-Quran dan mengkaji tentang Yahudi, maka kita akan dapati bahawa keterangan al-Quran tentang karekter Yahudi amat selaras. Maka orang-orang Yahudi hari ini adalah orang Yahudi sejati. Pertembungan kita dengan Yahudi adalah pertembungan kita dengan sebuah realiti.
Namun, jika  kita amati keterangan al-Quran tentang ciri-ciri orang Islam dan Mukmin, apakah hasil pengamatan kita itu?

Apakah ciri-ciri kita sebagai Muslim, sama dengan ciri Muslim yang digambarkan oleh al-Quran? Jika al-Quran yang pantang dihina oleh kuffar itu bercakap tentang kualiti Muslim pada akhlaqnya, pada aturan hidupnya, pada upaya dirinya ... apakah kita semua wahai kaum Muslimin, sama seperti apa yang digambarkan oleh al-Quran?

BERCAKAPLAH DENGAN JUJUR...

Bahawa sesungguhnya kita amat jauh dari al-Quran. Kita amat berbeza dari keterangan al-Quran tentang diri kita yang sebenar. Dalam erti kata yang lain, dunia ini didiami oleh Yahudi dan Nasrani yang hakiki dan realiti, ketika Muslimnya hanya sekadar ilusi. Sunnatullah menetapkan realiti sentiasa mengatasi ilusi, biar pun ilusi itu besar jumlahnya, mengatasi Catholic buat pertama kali dalam sejarah, bagai laporan Vatican City tempoh hari.

Betapa perbuatan kita itu telah menimbulkan kekeliruan dan kesulitan yang amat sangat untuk manusia mengenal dan memahami apa itu Islam. Yusuf Islam (Cat Stevens) sendiri mengakui, beliau bertuah kerana bertemu Islam sebelum bertemu Muslim! Golongan yang mahu mengenali Islam, terpaksa mengambil jalan yang susah untuk mempelajarinya kerana mereka terpaksa memaksa diri untuk mengasingkan al-Quran dan Islam Tekstual, dengan Muslim dan kelakuannya yang ada di depan mata.

Tanyalah kepada bangsa Melayu di bumi ini, mengapakah selepas 50 tahun kita berkongsi tanah hidup selorong dengan kaum Cina dan India yang tidak Islam itu, jumlah mereka yang terbuka hati kepada Islam masih terlalu kecil? Bukan sahaja kecil, malah ketakutan terhadap Islam dan Muslim bertambah-tambah! Tanyalah kepada tokoh yang memeluk Islam seperti Ustaz Hussein Yee atau Ustaz Farid Ravi, Brother Shah Kirit atau Brother Lim Jooi Soon, Sifu Nasir dan ramai lagi, bagaimanakah jalan dan liku mereka mencari Islam di celah-celah Muslim?

Oleh kerana itu, saya menyeru kepada diri saya dan kita semua, bahawa sebelum kita mahu bangkit melenting dengan penghinaan sesiapa terhadap Islam, tanyalah kepada diri sendiri, apakah Islam itu selama ini mulia di tangan kita? 

Apakah Islam berjaya diperlihatkan kemuliaannya dengan adanya kita ini sebagai Muslimnya? Apakah nilai yang ada pada kita untuk mengangkat kemuliaan Islam?

Sesungguhnya, sebelum Salman Rushdi atau Geert Wilders muncul dengan penghinaannya terhadap Islam secara bermusim, kitalah si kaum Muslim yang menghina Islam sehari-harian dengan kemunduran akal, akhlaq dan segala yang kita ada atas nama Islam!

TIDAK LAYAK KESUCIAN ISLAM DIBELA OLEH KEKOTORAN MUSLIM

Tidak akan terbela Islam oleh hati, mulut dan tangan yang kotor seperti hati, mulut dan tangan kita. Allah tidak akan izinkan IslamNya diperjuangkan oleh manusia pengotor seperti kita. Tidak bersih palitan lumpur jika air yang menyimbahnya juga cemar dan cela.

Sesungguhnya proses untuk memperjuangkan kesucian Islam sebenarnya adalah proses menyucikan Muslim. Semasa kita menyucikan diri dari pemikiran, amalan dan akhlaq yang kotor, ketika itulah kemuliaan Islam akan menyerlah.

Sucikanlah dirimu wahai Muslim, nescaya mulialah Islam, tanpa dipaksa-paksa, tanpa diminta-minta. Tidak ada apa yang perlu kamu buktikan kepada dunia dengan tempik sorak itu. Ditertawa ketika melawak adalah biasa. Tetapi ditertawa ketika menunjuk marah, itulah kemuncak hina.

Sesungguhnya kegerunan musuh kepada kamu hanya akan muncul apabila kamu layak digeruni, iaitu apabila Islam dan Muslim, kembali bersatu. Tiada lagi Islam di satu lembah, dan Muslim di satu lembah yang lain. Penghormatan dunia kepada Islam dan Muslim tidak perlu dipaksa-paksa, tidak perlu didesak-desak. Hormat datang sendiri ... apabila kita layak menerimanya.


“Hampir tiba masanya kamu akan diserbu oleh bangsa-bangsa lain (musuh-musuh kamu), sebagaimana orang-orang lapar mengadap hidangan di dalam jamuan”. Sahabat bertanya, “apakah semua itu berlaku disebabkan oleh jumlah kami yang sedikit?”. Rasulullah S.A.W menjawab, “bahkan ketika itu jumlah kamu amat ramai, tetapi ramainya kamu tidak lebih dari seumpama buih di permukaan banjir. Allah akan mencabut dari hati musuh-musuh kamu rasa gerun mereka terhadap dirimu, dan dimasukkan ke hatimu penyakit AL-WAHAN”. Seorang sahabat bertanya, “Ya Rasulallah, apakah al-wahan itu?” Jawab Rasulullah SAW “ialah cinta dunia dan takut menghadapi maut”. (Hadith riwayat Abu Daud daripada Sauban).

Oleh Ustaz Hasrizal Abdul Jamil @ Saiful Islam