Jangan menghina barang yang kecil kerana jarum yang kecil itu kadang-kadang menumpahkan darah.
Jiwa yang tidak membaca Al-Quran umpama telefon bimbit yang kehabisan bateri. Betapa canggih sekalipun fungsinya dan betapa mahal sekalipun harganya, ia tetap tidak berguna jika kehabisan bateri. Begitulah jiwa yang mati, betapa segak, cantik, bertenaga dan anggun sekalipun jasad luaran seseorang, tanpa Al-Quran segalanya tidak bermakna.

18 July, 2011

cantiknya wanita itu...

cantiknya seorang wanita itu sebagai gadis
bukan kerana merah kilau lipstiks
pada wajah memekar senyum kosmetik


cantiknya seorang wanita itu sebagai remaja
bukan pada kulitnya mulus menggebu terdedah

cantik seorang wanita itu sebagai kaum hawa

bukan kerana bijak meruntuh iman kaum adam


cantik seorang wanita itu sebagai anak solehah
tidak menjerat diri pada kedurhakaan dan kemurkaan ilahi

cantik seorang wanita itu sebagai intelektualis
menyala obor mewangi setanggi profesionalis

cantik seorang wanita itu sebagai isteri
merempuh badai di sisi suami

cantik seorang wanita itu sebagai menantu
menjauhi persekongkolan ipar duai

cantik seorang wanita itu sebagai ibu
mencurahkan sepenuh kasih sayang dengan adil

cantik seorang wanita itu sebagai mentua
telus hati mengagih kasih pada semua

cantik seorang wanita itu sebagai nenek
menyaring teladan para anbia buat cucu cicit

cantik seorang wanita itu sebagai warganegara
peka membela nasib maruah negara

cantik seorang wanita itu sebagai akidah solehah
mengandam rindu kekasih pasrah di atas sejadah

cantik seorang wanita itu sebagai muslimat
tunjang agama pewaris nadi Islam
menyumbang jasa dan bakti
memartabatkan Islam di persada dunia insya Allah

cantikkan seorang wanita itu..?


al-Fatihah buat Dr. Lo'lo'

13 July, 2011

10 Kunci ke persahabatan yang baik.


1) Mempunyai persamaan, tetapi jangan mengetepikan orang yang langsung tidak mempunyai persamaan dengan anda, bersikap terbuka, baik untuk anda.

2) Ingatlah pada satu pedoman penting iaitu berlaku baik terhadap orang lain sebagaimana anda suka diperlakukan. Sekiranya anda menghormati orang lain, orang lain akan menghormati anda juga.

3) Sedarlah bahawa tiada siapa yang sempurna, setiap orang mempunyai sifat-sifat aneh dan kecacatan, dan menerima kecacatan antara satu sama lain adalah kunci persahabatan yang baik.

4) Hargai pendapat satu sama lain.

5) Sedarlah bahawa kawan yang rapat sekalipun tidak dapat bersama 24 jam. Bina minat-minat yang lain dan jangan cemburu apabila kawan anda mempunyai minat-minat yang lain juga.

6) Komunikasi sangat penting. Kawan anda tidak boleh membaca fikiran anda. Sekiranya ada sesuatu yang menjejaskan persahabatan anda, beritahulah.

7) Jangan biarkan faktor luaran seperti tekanan (stress) menjejaskan persahabatan anda. Kawan yang baik akan membenarkan anda melepaskan perasaan kepada mereka, tetapi jangan hanya mempergunakan mereka untuk melepaskan perasaan ... dan sebagai balasan anda sepatutnya bersedia untuk mendengar luahan perasaan mereka pula.

8) Belajar daripada satu sama lain.

9) Jangan mengata di belakang kawan anda.

10) Pilih kata-kata anda dengan bijaksana kerana anda tidak boleh menariknya kembali.

11 July, 2011

PENEMUAN AIR TAWAR DI DASAR LAUTAN



Mereka yang gemar menonton rancangan "Discovery" pasti akan mengenali seorang oceanografer (ahli kelautan) dan ahli selam yang terkemuka dari Perancis. Orang tua yang berambut putih ini sepanjang hidupnya telah menyelam banyak dasar lautan di seluruh dunia. Beliau turut membuat filem dokumentari tentang keindahan alam bawah laut untuk tontonan jutaan khalayak di seluruh dunia.
Pada suatu hari ketika sedang melakukan penerokaan di dasar laut, dia menemui beberapa kumpulan MATA AIR TAWAR yang segar dan sangat sedap rasanya kerana tidak bercampur dengan air laut masin di sekelilingnya. Seolah-olah ada dinding atau membran yang membatasi keduanya.
Fenomena ganjil itu membuatkan Mr Costeau rasa kagum, dan mendorongnya untuk mencari penyebab terpisahnya air tawar dari air masin di tengah-tengah laut berkenaan. Dia pada mulanya berfikir, jangan-jangan itu hanya halusinasi @ khayalan sewaktu menyelam. Setelah kejadian itu, beliau terus berusaha mendapatkan jawapan yang memuaskan tentang fenomena ganjil berkenaan.
Suatu hari dia bertemu dengan seorang profesor muslim, lantas menceritakan fenomena ganjil itu. Profesor itu teringat suatu ayat al-Quran tentang penemuan dua lautan, dalam surah ar-Rahman ayat 19-20 yang sering dikaitkan dengan Terusan Suez. Ayat itu berbunyi
مرج البحرين يلتقيان. بينهما برزخ لا يبغيان
"Dia biarkan dua lautan bertemu, di antara keduanya ada batas yang tidak boleh ditembus" kemudian dibacakan surah al-Furqan ayat 53
وهو الذي مرج البحرين هذا عذب فرات وهذا ملح أجاج وجعل بينهما برزخاً وحجراً محجوراً
" Dan Dialah yang membiarkan dua laut mengalir (berdampingan); yang ini tawar lagi segar dan yang lain masin lagi pahit; dan Dia jadikan antara keduanya dinding dan batas yang menghalangi"
Selain itu, dalam beberapa kitab tafsir, ayat tentang pertemuan dua lautan yang tidak bercampur itu diertikan sebagai keadaan muara sungai, apabila terjadinya pertemuan antara air tawar (sungai) dan air masin dari laut. Namun tafsir itu tidak menjelaskan ayat berikutnya dari surah ar_Rahman ayat 22
يخرج منهما اللؤلؤ والمرجان
yang bermaksud: "Keluar dari keduanya mutiara dan marjan" sedangkan di muara sungai tidak ditemui mutiara.
Mr Costeau terpesona mendengar ayat-ayat Al-Quran itu melebihi kekagumannya melihat keajaiban pemandangan yang pernah dilihatnya di dasar lautan. Al-Quran ini mustahil disusun oleh Muhammad (saw) yang hidup pada abad ke 7, suatu zaman yang belum ada peralatan selam yang canggih untuk mencapai lokasi yang begitu jauh di dasar lautan.
Berita tentang fenomena ganjil 14 abad yang silam akhirnya terbukti pd abad ke 20. Mr Costeau berkata, sesungguhnya Al-Quran adalah kitab suci yang berisi firman Allah dan mengandungi kebenaran yang mutlak. Ekoran peristiwa itu, beliau mendapat hidayah dari Allah untuk memeluk Islam.
ALLAHU AKBAR !!!!!!!!
Ada masa, sila klik:
http://www.wikiislam.net/wiki/Jacques_Cousteau_%28Conversion_to_Islam%29

10 July, 2011

بسم الله الرحمن الرحيم


Saidina Ali KarramALLAHu wajhah pernah berpesan:

"KEKAYAAN YANG PALING KAYA IALAH AKAL,

dan

SEBESAR-BESAR KEFAKIRAN IALAH KEBODOHAN

dan

KESUNYIAN YANG SANGAT DAHSYAT IALAH SOMBONG DIRI

dan

SEMULIA-MULIA KASIH SAYANG IALAH AKHLAK YANG BAIK"

07 July, 2011

siapa yang berasa tak kan mati?

Tanda 100 hari sebelum sakaratulmaut.

Ini adalah tanda pertama dari Allah SWT kepada hambanya dan hanya akan disedari oleh mereka yang dikehendakinya. Walaubagaimanapun semua orang Islam akan mendapat tanda ini cuma samada mereka sedar atau tidak sahaja.

Tanda ini akan berlaku lazimnya selepas waktu Asar. Seluruh tubuh iaitu dari hujung rambut sehingga ke hujung kaki akan mengalami getaran atau seakan-akan mengigil. Contohnya seperti daging lembu yang baru saja disembelih dimana jika diperhatikan dengan teliti kita akan mendapati daging tersebut seakan-akan bergetar. Tanda ini rasanya lazat dan bagi mereka yang sedar dan berdetik di hati bahawa mungkin ini adalah tanda mati maka getaran ini akan berhenti dan hilang setelah kita sedar akan kehadiran tanda ini.

Bagi mereka yang tidak diberi kesedaran atau mereka yang hanyut dengan kenikmatan tanpa memikirkan soal kematian, tanda ini akan lenyap begitu sahaja tanpa sebarang manfaat.

Bagi yang sedar dengan kehadiran tanda ini, maka ia adalah peluang terbaik untuk memanfaatkan masa yang ada untuk mempersiapkan diri dengan amalan dan urusan yang akan dibawa atau ditinggalkan sesudah mati.

Tanda 40 hari sebelum hari mati

Tanda ini juga akan berlaku sesudah waktu Asar. Bahagian pusat kita akan berdenyut- denyut. Pada ketika ini daun yang tertulis nama kita akan gugur dari pokok yang letaknya di atas Arash Allah SWT.

Maka malaikat maut akan mengambil daun tersebut dan mula membuat persediaannya ke atas kita, antaranya ialah ia akan mula mengikuti kita sepanjang masa. Akan terjadi malaikat maut ini akan memperlihatkan wajahnya sekilas lalu dan jika ini terjadi, mereka yang terpilih ini akan merasakan seakan-akan bingung seketika.

Adapun malaikat maut ini wujudnya cuma satu tetapi kuasanya untuk mencabut nyawa adalah bersamaan dengan jumlah nyawa yang akan dicabutnya.

Tanda 7 hari Adapun tanda ini akan diberikan hanya kepada mereka yang diuji dengan musibah kesakitan di mana orang sakit yang tidak makan secara tiba-tiba ianya berselera untuk makan.

Tanda 3 hari

Pada ketika ini akan terasa denyutan di bahagian tengah dahi kita iaitu di antara dahi kanan dan kiri. Jika tanda ini dapat dikesan maka berpuasalah kita selepas itu supaya perut kita tidak mengandungi banyak najis dan ini akan memudahkan urusan orang yang akan memandikan kita nanti.

Ketika ini juga mata hitam kita tidak akan bersinar lagi dan bagi orang yang sakit, hidungnya akan perlahan-lahan jatuh dan ini dapat dikesan jika kita melihatnya dari bahagian sisi. Telinganya akan layu di mana bahagian hujungnya akan beransur-ansur masuk ke dalam. Telapak kakinya yang terlunjur akan perlahan-lahan jatuh ke depan dan sukar ditegakkan.

Tanda 1 hari

Akan berlaku sesudah waktu Asar di mana kita akan merasakan satu denyutan di sebelah belakang iaitu di kawasan ubun-ubun. Ini menandakan kita tidak akan sempat untuk menemui waktu Asar keesokan harinya.

Tanda akhir

Akan berlaku keadaan di mana kita akan merasakan satu keadaan sejuk di bahagian pusat dan ianya akan turun ke pinggang dan seterusnya akan naik ke bahagian halkum. Ketika ini hendaklah kita terus mengucap kalimah syahadah dan berdiam diri serta menantikan kedatangan malaikatmaut untuk menjemput kita kembali kepada Allah SWT yang telah menghidupkan kita dan sekarang akan mematikan pula.