Jangan menghina barang yang kecil kerana jarum yang kecil itu kadang-kadang menumpahkan darah.
Jiwa yang tidak membaca Al-Quran umpama telefon bimbit yang kehabisan bateri. Betapa canggih sekalipun fungsinya dan betapa mahal sekalipun harganya, ia tetap tidak berguna jika kehabisan bateri. Begitulah jiwa yang mati, betapa segak, cantik, bertenaga dan anggun sekalipun jasad luaran seseorang, tanpa Al-Quran segalanya tidak bermakna.

22 June, 2009

Zakat diwajibkan untuk kepentingan nabi

Soalan orang atheis: Nabi umat Islam (Muhammad SAW) mewajibkan zakat kerana kemaslahatan diri sendiri tanpa bersebab. Khususnya zakat diwajibkan setelah kematian isterinya Khadijah, seorang wanita kaya. Waktu itu nabi mereka tiada sumber kemasukan lain lalu mewajibkan zakat dengan alasan Allah memerintahkan umat Islam supaya mengeluarkan zakat. Kenapa nabi kamu mengkhianati agamanya demi kepentingan diri sendiri?


Orang Islam menjawab: Apa yang awak cakapkan ni? Kami apabila menyebut Saidina Muhammad, ianya bererti Islam itu sendiri, seoalah-olah dua perkataan yang seerti. Bagaimana seseorang tega mengkhianati dirinya sendiri?


Atheis: Mengapa nabi kamu mewajibkan zakat. Ini mestilah disebabkan dia mengalami krisis sumber pendapatan bukan?

Islam: Dengar sini baik-baik. Agama Islam sebenarnya bukanlah sebagaimana yang diberitahu oleh paderi-paderi awak. Agama Islam adalah agama Allah yang diwahyukan kepada NabiNya Muhammad SAW. Guru yang memberitahu awak mengenai hal ini sebenarnya sudah tersilap. Untuk pengetahuan awak, NABI KAMI TIDAK BERHAK MENGGUNAKAN HARTA ZAKAT. BUKAN SETAKAT NABI KAMI SAHAJA BAHKAN SEMUA AHLI KELUARGA BAGINDA. Pernah suatu ketika salah seorang cucu baginda yang bernama Hassan cuba mengambil sebiji tamar daripada zakat yang dikeluarkan oleh orang-orang Islam. Nabi kami terus merampas tamar itu dari tangannya.


Harta zakat diharamkan ke atas nabi kami. Zakat sebenarnya diwajibkan ke atas orang-orang kaya untuk diberikan kepada faqir miskin. Ianya tidak ubah seperti tabung bagi menolong orang-orang miskin. Itupun kalau harta orang-orang kaya tersebut menepati syarat-syarat yang ditetapkan. Pada hemat saya, KALAULAH SEMUA ORANG KAYA MENGELUARKAN ZAKAT DARIPADA HARTA-HARTA MEREKA, TIADALAH ORANG HIDUP MEREMPAT ATAS MUKA BUMI INI.


Cuba awak dengar apa yang disebutkan dalam kitab suci kami:

ولا يحسبن الذين يبخلون بما ءاتاهم الله من فضله هو خيرا لهم بل هو شر لهم سيطوّقون ما بخلوا به يوم القيامة ولله ميراث السموات والأرض والله بما تعملون خبير. (آل عمران: 180)

Mafhumnya: Sekali-kali janganlah orang-orang yang bakhil dengan harta yang Allah berikan kepada mereka dari kurniaNya menyangka, bahawa kebakhilan itu baik bagi mereka. Sebenarnya kebakhilan itu adalah buruk bagi mereka. Harta yang mereka bakhilkan itu akan dikalungkan kelak di lehernya pada hari Kiamat. Dan kepunyaan Allah-lah segala warisan (yang ada) di langit dan di bumi. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.


Dalam Surah an-Nisa’ pula Allah menceritakan peribadi orang-orang yang patuh kepada ajaran Allah; “Kelak kamu semua sedikit pun tidak akan dizalimi”


Ini adalah pegangan kami orang-orang Islam yang mendirikan solat, mengeluarkan zakat dan melaksanakan hukum Allah. Dengan berbuat demikian, kami akan terhindar dari azab Allah kelak. Adapun yang membohongi nabi-nabi Allah WALAUPUN MEREKA DIBERIKAN KESENANGAN HIDUP DI DUNIA TAPI MEREKA TIDAK AKAN TERLEPAS DARI SEKSAAN ALLAH. Mereka tidak beriman dengan agama Islam bahkan sentiasa mencari kepincangan untuk dizahirkan kepada orang ramai. Mereka yang seperti ini tergolong dalam golongan yang diceritakan oleh Allah dalam Surah Ibrahim ayat 3:

الذين يستحِبون الحياة الدنيا على الآخرة ويصدون عن سبيل الله ويبغونها عوجا أولئك في ضلال بعيد

“Orang-orang yang lebih mementingkan kehidupan duniawi daripada kehidupan ukhrawi dan terpesong dari jalan Allah, mereka sentiasa mencari kepincangan di dalamnya (agama Islam) mereka semua tergolong dalam golongan orang yang paling sesat.”

Dalam Surah al-Hijr, ayat kedua Allah berfirman:

ربما يود الذين كفروا لو كانوا مسلمين

“Di hari Kiamat kelak orang-orang kafir berangan-angan kalaulah dahulu (di dunia) mereka sebagai seorang muslim”

Agama Islam adalah agama yang unik. Ia memerlukan kesabaran dan ketekunan untuk memahaminya. Awak akan menyesal kalau awak masih tetap berdegil. Ini amaran dari Allah.


Atheis: Kalau Islam itu adil. Kenapa perlu ada zakat?


Islam: Bagi orang-orang kaya ataupun yang berkemampuan mereka harus mengetepikan sedikit daripada keuntungan yang mereka perolehi untuk dikeluarkan zakat. Jadi ini bermakna orang-orang miskin akan rasa terbela dengan adanya orang kaya. Dan Allah akan kurniakan pahala yang cukup besar bagi mereka yang mengeluarkan zakat.


Atheis: Itu lagi tak adil kerana zakat hanya seolah-olah memberi peluang kepada orang-orang kaya untuk mendapat pahala sedekah. Orang miskin yang tiada duit tiada peluang untuk mendapat pahala. Itu tak adil.


Islam: Macam ni lah... Sebenarnya dalam Islam ada juga menyatakan bagi mereka yang tidak mampu contohnya orang miskin, mereka cuma harus senyum untuk mendapatkan pahala kerana senyum itu ibarat satu sedekah juga.


Atheis: Senyuman? Senyuman pun boleh dapat pahala?

Islam: Ya. Mudahkan?



04 June, 2009

Apakah hukum memelihara burung di dalam sangkar?

Sebahagian spesis burung mempunyai kecantikan dan keunikannya yang tersendiri sama ada dari segi warna, suara atau kicauannya dan sebagainya. Kecantikan itu pula adalah sesuatu yang disukai oleh setiap jiwa manusia dan ia termasuk nikmat Allah yang wajib disyukuri. Allah SWT berfirman,

قل من حرم زينة الله التي أخرج لعباده والطيبات من الرزق (الأعراف: 32)

“Katakanlah (wahai Muhammad), “Siapakah yang berani mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkanNya untuk hamba-hambaNya, dan demikian juga benda-benda yang baik lagi halal dari rezeki yang dikurniakanNya?”

والخيل والبغال والحمير لتركبوها وزينة (النحل: 8)

“Dan (Allah menjadikan) kuda dan baghal serta keldai untuk kamu menunggangnya, dan untuk menjadi perhiasan”

Apabila perhiasan yang Allah SWT jadikan seperti haiwan-haiwan dan tumbuh-tumbuhan serta lain-lainnya untuk kegunaan hamba-hambaNya sebagai sesuatu yang harus dan tidak haram, maka begitu juga dengan perbuatan ‘menghiasi’ tidaklah dilarang dalam semua keadaan. Sekiranya terlarang ketika adanya unsur-unsur berlagak sombong, bermegah-megah atau melampau-lampau, maka ia tidak terlarang sekiranya perbuatan menghiasi itu tidak dicemari dengan sifat-sifat tadi.

Dalam Tafsir Qurtubi jilid ketujuh ada dinyatakan, “Tidak semua perkara yang disukai oleh hawa nafsu itu dicela, dan bukan semua perkara yang manusia jadikannya sebagai perhiasan dihukumkan makruh. Sebaliknya yang dilarang adalah sesuatu yang memang telah terang ditegah oleh syarak ataupun perhiasan itu dengan tujuan menunjuk-nunjuk”

Sememangnya setiap individu itu suka dipandang cantik dan ia bukanlah sesuatu yang dicela. Oleh sebab itu, seseorang itu akan menyikat rambutnya, melihat diri sendiri di depan cermin, memakai pakaian yang cantik dan sebagainya yang mana ianya tidaklah diharamkan ataupun dikutuk oleh agama.

Makhul telah meriwayatkan daripada Aishah yang berkata, “Ada beberapa orang sahabat Rasulullah SAW menunggu baginda di pintu (rumah). Lalu baginda keluar untuk menemui mereka. Dalam rumah (nabi) terdapat satu cawan / koleh yang berisi air. Melalui (bayang-bayang) di air itu, baginda melihat (dirinya) dan merapikan janggut serta rambutnya. Lalu saya bertanya, “Wahai Rasulullah, tuan pun buat begini?” Baginda menjawab, “Ya. Apabila seorang lelaki hendak keluar bertemu saudara-saudaranya, hendaklah dia menyediakan (mengemaskan) dirinya. Sesungguhnya Allah Maha Cantik (dan) sukakan kecantikan”

Dalam Sohih Muslim daripada Ibni Mas’ud daripada Nabi SAW bersabda, “Tidak akan masuk syurga barangsiapa yang di dalam hatinya terdapat seberat zarah dari sifat bongkak” Lalu seorang lelaki pun bertanya, “Sesungguhnya lelaki ini suka jika bajunya cantik dan selipar/ sepatunya juga cantik (serba hebat)” Nabi menjawab, “Sesungguhnya Allah Maha Cantik, sukakan kecantikan. Bongkak itu adalah mengingkari sesuatu yang hak (kebenaran) dan menghina manusia”

Pendahuluan ini menerangkan tentang asal perhiasan yang mana ianya dihalalkan. Islam tidak pernah mengabaikan fitrah manusia ini, malahan memberikan garis panduannya.

Perbuatan merekacipta perhiasan, menggunakannya dan meniagakannya adalah sesuatu yang harus. Di antara perkara yang termasuk kategori perhiasan adalah sebahagian spesis burung dan ikan-ikan. Maka harus menyimpan dan menjualnya selagi mana masih dalam batasan syarak dengan syarat-syarat tertentu. Antara syarat-syarat tersebut ialah:

1) Tidak bertujuan berbangga-bangga, sombong dan menunjuk-nunjuk, sepertimana kebiasaan golongan yang sering melakukan kezaliman. Amalan dan tindakan itu diukur berdasarkan niatnya.

2) Perbuatan berhibur, berseronok, dan terlalu menumpukan perhatian kepada hal perhiasan tadi jangan sampai melalaikan daripada kewajipan-kewajipannya asalnya.

3) Tidak boleh cuai dan leka dalam hal memberikan makanan kepada binatang-binatang yang dipelihara itu. Terdapat sebuah hadith yang menerangkan tentang azab Allah ke atas seorang wanita yang mengurung seekor kucing tanpa memberikan makanan dan minuman kepadanya.

Di dalam Sohih Bukhari dan Muslim daripada Anas r.a berkata, “Rasulullah SAW adalah manusia yang paling elok akhlaknya. Saya mempunyai seorang adik yang dipanggil ‘Umair. (suatu hari) Rasulullah SAW mendatangi kami dan bertanya, “Wahai Abu ‘Umair, apa yang sedang dilakukan oleh Nughair?”

Nughair @ Nughar adalah sejenis burung dan mempunyai paruh berwarna merah. Penduduk Madinah menamakannya burung Bulbul.

Al-Dumairi dalam kitabnya “Hayatul hayawan al-kubro”, berpendapat melalui hadis ini terdapat dalil harusnya kanak-kanak bermain dengan burung yang kecil.

Al-‘allamah Abu al-Abbas al-Qurtubi pula berkata, “Akan tetapi yang ulama’ haruskan adalah menangkap, menjaga dan berhibur dengannya. Manakala perbuatan menyeksa dan mengabaikannya pula tidak boleh kerana Nabi SAW menegah perbuatan menyeksa haiwan kecuali untuk dijadikan sebagai makanan”

Ibnu ‘Aqil al-Hanbali pula melarang perbuatan menangkap dan memelihara binatang seperti ini. Menurutnya ia adalah sesuatu tindakan yang bodoh dan menyeksa binatang. Sandarannya adalah berdasarkan kata-kata Abu Darda’ r.a, “Akan datang burung-burung itu pada hari Kiamat nanti dengan bergantung pada hamba Allah yang mengurungnya di dalam sangkar seterusnya menyebabkan ia terhalang daripada mencari rezekinya sendiri. Burung itu akan berkata, “Wahai Tuhanku, orang ini telah menyeksa aku ketika di dunia”

Jawapan: Hal ini hanya merujuk kepada mereka yang tidak memberi makanan dan minuman kepada peliharaan tadi.

Kesimpulannya, harus memelihara binatang seperti burung dengan tujuan perhiasan dan dijaga dengan sebaiknya serta tidak mengabaikannya. Sebahagian ulama’ yang memakruhkan perbuatan ini adalah berpunca dari sikap yang tidak acuh terhadap peliharaannya dan menyakitinya. Makruh di sini tidak bermakna haram kerana haram adalah maksiat yang akan dikenakan azab. Sedangkan makruh bukannya maksiat dan tidak akan diazab.

Hukum ini turut meliputi ikan-ikan yang disimpan di akuarium ataupun kolam. Begitu juga binatang-binatang lain yang disimpan di dalam zoo.

wAllahu a’lam

Rujukan: Kitab al-fatawa min ahsan al-kalam fi al-fatawa wa al-ahkam

Fadhilat al-syeikh ‘Atiyyah Saqr

Juzuk/jilid kedua