Jangan menghina barang yang kecil kerana jarum yang kecil itu kadang-kadang menumpahkan darah.
Jiwa yang tidak membaca Al-Quran umpama telefon bimbit yang kehabisan bateri. Betapa canggih sekalipun fungsinya dan betapa mahal sekalipun harganya, ia tetap tidak berguna jika kehabisan bateri. Begitulah jiwa yang mati, betapa segak, cantik, bertenaga dan anggun sekalipun jasad luaran seseorang, tanpa Al-Quran segalanya tidak bermakna.

27 May, 2009

U R what U eat

Ada satu pepatah dalam Bahasa Inggeris yang berbunyi “ You are what you eat” adalah satu hasil kajian dan pengalaman manusia yang amat relevan sekali. Malahan ia amat selari dengan firman Allah dalam surah ‘Abasa ayat 24:

فلينظر الإنسان إلى طعامه

Mafhumnya: Maka hendaklah manusia itu melihat kepada makanannya.

Pengamatan saya secara rambang, apa yang kita makan benar-benar mempengaruhi tabiat kehidupan kita. Sebagai, contoh saya ingin mengajak para pembaca untuk memerhatikan perbezaan sikap dan perangai di antara orang Melayu dan orang Arab kesan daripada makanan mereka. Makanan utama orang Arab adalah roti gandum yang dipanggil “khubz” atau di Mesir lebih dikenali sebagai “ ‘isy”. Roti ini ada yang keras @ liat dan ada juga yang lembut. (Tapi lembut2 ‘isy itu pun masih lagi keras) Hasilnya perangai orang-orang Arab pun keras dan kasar. Kasar bagi kita orang Melayu, padahal sesama mereka ia adalah perkara biasa. "Kidah 'aadi", kata orang Mesir. Sehinggakan turut memberi kesan terhadap tumbesaran mereka. Seorang makcik tua pada pandangan kita lemah kudratnya. Tetapi jangan terkejut jika anda terserempak di Mesir ini, seorang makcik dengan selamba mengangkat tong gas lalu diletakkan di atas kepalanya. Kalau lelaki, jangan cakaplah. Saya juga pernah menyaksikan seorang makcik Arab cun membeli seekor ayam belanda, kemudian dimasukkan ayam itu ke dalam sebuah beg besar. Sama juga, dengan 'machonya' makcik itu pun meletakkan 'beg ayam' tadi di atas kepalanya. Malas nak kendong.Sebab itu pemenang pingat emas acara angkat berat, tinju dan taek wan do, Sukan Olimpik di Athens dahulu disandang oleh peserta-peserta dari Mesir! Jangan lupa, Nabi Musa a.s tumbuk seorang lelaki pengikut Firaun sekali ‘das’ sahaja, langsung ......!

Orang Melayu pula makan nasi yang lembut. Kalau terkeras sikit, tak mahu makan dah! “Nasi keraslah, kurang air semasa menanak!” Itu antara komen yang terpacul dari mulut orang Melayu. Akhirnya, kita orang Melayu pun jadi ‘layu’ dan lembik. Arab tolak sikit je, dah terpelanting. Kalau body macam saya, ....lagilah. Tapi bagusnya makan nasi ini ialah orang Melayu sering dilabelkan sebagai bangsa yang lemah lembut dan bersopan santun. (betul ke?)

Ada juga kata-kata yang berbunyi, “Orang putih makan dengan otak, orang Melayu makan dengan lidah dan orang Arab makan dengan perut”. Sejauh mana kebenaran kata-kata ini, anda kajilah sendiri.

Sebagai muslim dan mukmin, pemakanan memainkan peranan yang penting terutama sekali yang melibatkan soal halal dan haram. Sekiranya makanan halal yang menjadi pilihan kita, moleklah akhlak kita. Jika makanan haram yang menjadi santapan kita, rosaklah perangai kita.

Namun begitu, konsep halal tidak semestinya dilihat pada jenisnya sahaja seperti terhad kepada ayam, kambing, lembu dan seumpamanya. Lalu menolak makanan yang sudah di ‘set’ kan atau dikelaskan sebagai haram seperti babi dan anjing serta arak. Ianya benar tetapi bukan setakat itu sahaja.

Al-Quran menyeru manusia melalui ayatnya:

يا أيها الناس كلوا مما في الأرض حلالا طيبا ولا تتبعوا خطوات الشيطان إنه لكم عدو مبين

Mafhumnya: Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi, yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan, kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu. (Al-Baqarah: 168)

Paling dikhuatiri lagi adalah sabda Nabi Muhammad SAW:

كل لحم نبت من الحرام فانار أولى به

Maksudnya lebih kurang: Setiap daging yang tumbuh kesan daripada makanan yang haram, maka nerakalah untuknya.

Makanan yang pada asalnya adalah halal boleh berubah menjadi haram jika diperolehi dari sumber yang haram. Sekiranya diambil tanpa keizinan juga sudah tidak dikira halal. Sebab itulah kata-kata orang kita, “Maafkan salah silap saya. Halalkan makan dan minum saya” adalah contoh yang baik dan patut diamalkan.

Mudah-mudahan saya dan anda akan lebih berhati-hati dalam pemilihan makanan ini.

17 May, 2009

Faktor-faktor Penentangan Terhadap Islam


Sudah menjadi sunnah perjuangan golongan yang hendak menyebarkan ajaran Islam kepada masyarakat akan berhadapan dengan pelbagai ujian sama ada dari sudut fizikal mahupun mental. Hal sebegini telah pun dilalui oleh para rasul dan nabi termasuk junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW. Jika kita perhati dan mengkaji apakah faktor-faktor utama penentangan terhadap dakwah nabi ketika di awal kebangkitan Islam dahulu, ianya berkisar pada perkara-perkara berikut:


Pertama: Perebutan kuasa dan pengaruh. Umum mengetahui bahawa kaum Arab Quraisy mempunyai banyak suku dan kabilah, di samping bersikap asabiah ataupun taksub terhadap komuniti masing-masing. Senario ini lebih terserlah beberapa detik sebelum kedatangan Islam terutama sekali di Makkah yang mana menyaksikan Bani Abdi Manaf iaitu Bani Hashim dan Bani Umaiyah sentiasa berbalah. Mereka saling berlumba-lumba untuk mendapatkan jawatan kepemimpinan dan inginkan penghormatan tinggi daripada masyarakat.


Apabila Nabi Muhammad SAW muncul di tengah-tengah masyarakat ini dengan menyeru umat agar meninggalkan amalan penyembahan berhala dan mengajak mengabdikan diri kepada Allah SWT, pandangan dan perhatian segelintir bangsa Arab telah tertumpu kepada baginda. Fenomena tersebut menyebabkan golongan yang ‘gila jawatan’ ini menjadi sakit hati dan dengki terhadap baginda. Mereka merasakan Nabi Muhammad SAW juga berhajat kepada kuasa dan pengaruh serta merampasnya daripada genggaman mereka dengan sangkaan beriman kepada kenabiannya seolah-olah menyerahkan jawatan kepemimpinan kepada baginda. Sebenarnya ketika itu, mereka tidak mampu membezakan di antara kenabian dan ketuanan duniawi.


Kedua: Seruan kepada persamaan. Persamaan yang dimaksudkan oleh Islam adalah persamaan yang mutlak dan tiada perbezaan taraf, kerana sekalian manusia di hadapan Allah SWT adalah sama umpama gigi-gigi sikat. Sebaliknya yang paling mulia di sisi Allah SWT adalah manusia yang paling bertakwa kepadaNya. Akan tetapi, bagaimana mungkin dakwah ini dapat diterima oleh kaum Quraisy pada saat itu? Ajaran ini sangat sukar bagi mereka yang telah mengamalkan kehidupan berkasta. Menurut mereka, golongan hamba dan al-mustadh’afin (golongan yang lemah) adalah jauh berbeza daripada golongan yang merdeka. Lantaran daripada itu, para pembesar Quraisy menganggap Islam ini menggugat dan mengancam ketuanan mereka terhadap hamba-hamba yang mereka miliki.


Ketiga: Beriman kepada hari kebangkitan yang merangkumi hari pembalasan sama ada pahala atau dosa, syurga atau neraka. Realiti bangsa Arab pada asalnya adalah menyakini bahawa kematian adalah penamat segala-galanya. Tidak pernah terlintas dalam benak fikiran mereka adanya lagi kehidupan semula yang lebih kekal abadi, apatah lagi hendak menerima hukuman atas segala kejahatan yang pernah dilakukan ketika masih hidup ini. Oleh sebab itu, dakwah nabi ditolak mentah-mentah oleh mereka yang tidak mendapat hidayah Allah SWT.


Keempat: Sekadar meniru tinggalan nenek moyang mereka, yang juga disebut sebagai taklid buta. Segala amalan dan tradisi yang mereka terima daripada golongan yang terdahulu telah mendarah daging dalam jiwa, tanpa melihat dengan mata hati dan pengkajian yang teliti. Mereka mendakwa, perbuatan mengeluarkan diri daripada tradisi ini adalah suatu pengkhianatan terhadap nenek moyang mereka dan ia adalah suatu sikap yang tidak wajar dilakukan. Al-Quran merakamkan sikap mereka ini dalam Surah al-Baqarah ayat 170 yang mafhumnya: “Dan apabila dikatakan kepada mereka, “Turutlah akan apa yang diturunkan oleh Allah”. Mereka menjawab, “(tidak) bahkan kami (hanya) menurut apa yang kami dapati datuk nenek kami melakukannya”. Patutkah (mereka menurutnya) sekalipun datuk neneknya itu tidak faham sesuatu (apa pun tentang perkara-perkara agama), dan tidak pula mendapat petunjuk hidayah (dari Allah)?”.


Walaubagaimanapun kesemua faktor di atas langsung tidak menjejaskan kebangkitan dakwah Islamiah sebaliknya dijadikan sebagai suatu pembakar semangat kepada nabi dan golongan yang telah beriman untuk berusaha menyedarkan masyarakat tentang kesilapan dan kealpaan mereka.


Saya ingin mengajak para pembaca untuk merenung sejenak, sekiranya kita amati sekali lagi faktor-faktor penentangan di atas, semacam ada persamaan dan rasanya masih wujud lagi pada hari ini. Puak-puak tertentu yang mempunyai pangkat dan kuasa berasa terancam apabila para pejuang agama bergerak aktif memberikan penerangan kepada umat tentang peri pentingnya menghayati dan mengamalkan ajaran Islam secara syumul, kerana Islam is a way of life. Apabila masyarakat sudah faham tentang konsep Islam secara praktikal, para penguasa berasa gusar dan terancam kerana sikap mereka sendiri yang tidak mahu mengamalkan Islam itu dengan menyeluruh (sungguhpun mereka sendiri adalah muslim).


Begitu juga dengan jurang taraf sosial rakyat yang ketara. Golongan yang berada terus dengan kerakusannya menghimpunkan harta kekayaan dunia tanpa melihat kepada golongan bawahan, walhal pada sebahagian daripada perbendaharaan harta mereka itu ada bahagiannya untuk golongan fakir miskin. Apabila para pendakwah Islam menyeru agar kita saling membantu dengan memberikan sumbangan kepada yang memerlukan, manusia-manusia yang lupa diri ini berasa khuatir harta mereka akan terkikis dan berkurangan. Maka para pendakwah kebenaran ini sekali lagi dipersalahkan.


Masyarakat juga akan terus hanyut dengan noda dan maksiat dek kerana terlupa tentang adanya hari kebangkitan. Apakah punca kelupaan itu? Para pejuang Islam disekat dan tidak diberikan ruang untuk menyampaikan ilmu kepada masyarakat. Bercakap lebih sedikit .... jaga-jaga! Berbeza dengan ruangan untuk berhibur.... (malas nak hurai).


Akhir sekali, “... dah mak bapak kami tak pernah kata apa-apa pun. Kenapa pula ustaz / ustazah ni nak sibuk-sibuk jaga tepi kain kami?!” Ini mungkin antara sebahagian ayat yang pernah didengari oleh para pendakwah.


Demikianlah lumrah orang yang ingin berjuang menegakkan syiar dan syariat Allah, pasti akan bertemu dengan pancaroba yang pelbagai. Namun begitu, bagi mereka yang berpandangan positif, suasana ini adalah asam garam dalam perjuangan. Jika tiada cabaran dan rintangan, bukan perjuangan namanya.



ps: Saya sendiri belum pernah pulang ke tanahair. Jadi tidak pernah menghadapi realiti sebenar onak duri perjuangan dakwah. Maka, tulisan hanyalah satu permulaan. Bimbang juga jika diri sendiri tidak melepasi dugaan-dugaan tersebut.


13 May, 2009

Biodata Syeikh Idris al-Marbawi

Nama sebenarnya ialah Mohd Idris bin ‘Abdul Rauf al-Marbawi dan digelar Idris al-Marbawi kerana al-Marbawi itu sempena menggunakan nama keturunannya. Allahyarham Syeikh Mohd Idris bin ‘Abdul Rauf al-Marbawi adalah seorang ulama besar yang tidak asing lagi. Kemasyhurannya bukan sahaja di Nusantara malah di Mesir dan Mekah terutamanya dalam bidang bahasa Arab, hadis, tafsir, fekah dan sebagainya.

Syeikh Mohd Idris al-Marbawi dilahirkan pada 28 Zulkaedah 1313 Hijrah bersamaan 1893 Masihi di Makkah al-Mukarramah. Ketika berusia 10 tahun, beliau mampu menghafaz sebanyak 10 juzuk al-Quran di samping beberapa buah kitab lain. Pada tahun 1333 Hijrah / 1913 Masihi beliau pulang ke tanahair bersama keluarganya. Sekembalinya ke tanahair, Allahyarham Syeikh Mohd Idris al-Marbawi mendapat pendidikan pertama di Sekolah Melayu Lubuk Merbau, Perak. Seterusnya, beliau melanjutkan pengajian di beberapa buah sekolah pondok seperti Sekolah Pondok Syeikh Wan Muhammad di Bukit Chandan, Kuala Kangsar, Pondok Tuan Hussain al-Mas’udi di Kedah, Pondok Syeikh Ahmad Fatani di Bukit Mertajam dan Pondok Tok Kenali di Kelantan. Setelah menamatkan pengajian, Syeikh Mohd Idris al-Marbawi bertugas sebagai guru agama di Perak.

Pada tahun 1924, beliau telah melanjutkan pelajaran di Universiti al-Azhar Mesir dan berjaya mendapat Ijazah ‘Aliyah. Semasa berada di Mesir, satu kesedaran mengenai pendidikan anak bangsanya di Tanah Melayu mula tumbuh dalam dirinya. Ketika itulah beliau mula menyusun kamus Arab/Melayu atau lebih dikenali sebagai Kamus Idris al-Marbawi yang diterbitkan pada tahun 1937. Sehingga sekarang kamus itu sudah diulang cetak tidak kurang daripada 24 kali. Maka bermula dari sinilah beliau terus menerokai bidang penulisan yang lebih mencabar. Antara hasil karya beliau ialah kitab Bahrul Mazi yang membicarakan 8200 permasalahan agama dan hal ehwal dunia akhirat. Syeikh Mohd Idris al-Marbawi juga telah menghasilkan beberapa kitab tafsir al-Quran dalam Bahasa Melayu. Antaranya ialah Tafsir Quran Marbawi, Tafsir Quran Nurul-Yaqin dan Tafsir Surah Yasin juga beberapa karya yang lain yang bertajuk Bulughul Maram, Mu’jam al-Ka’inat, Jami’ul Ulum, Usul al-Islam, Nizamul Hayah, dan banyak lagi.

Segala kitab yang ditulis oleh Syeikh Idris al-Marbawi itu memperkayakan khazanah Islam di Nusantara yang tidak ternilai harganya dan memberi pendedahan intelektual masyarakat Islam. Atas sumbangan dan jasanya yang besar dalam bidang keagamaan dan persuratan, maka pada 5 Julai 1980 Allahyarham Syeikh Idris al-Marbawi telah dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Persuratan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia. Anugerah berkenaan dikurniakan oleh Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia, iaitu Tunku Ja’afar Ibni al-Marhum Tuanku Abdul Rahman sempena konvokesyennya. Pada ketika itu, beliau berusia 86 tahun dan dicatatkan sebagai ulama yang sudah menghasilkan 21 buah karya Islam pelbagai aspek.

Manakala pada tahun 1987 bersamaan 1 Muharram 1408H, beliau ditabalkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan yang pertama berdasarkan sumbangan serta pengetahuan yang tinggi terhadap Islam di Nusantara, khususnya di Malaysia. Syeikh Mohd Idris al-Marbawi turut menerima hadiah wang tunai berjumlah RM 40,000 serta sebuah pingat dan sijil. Hadiah itu telah disampaikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mahathir Mohammad dalam satu upacara majlis sambutan Maal Hijrah di depan kira-kira 3000 orang para hadirin, termasuklah duta-duta dari negara Islam di Pusat Islam Kuala Lumpur. Ketika menerima anugerah itu tokoh Maal Hijrah itu berumur 95 tahun.

Beliau meninggal dunia tidak lama selepas menerima anugerah Tokoh Maal Hijrah. Allahyarham telah meninggalkan seorang anak, tiga cucu dan lima cicit. Jenazah beliau dikebumikan di tanah perkuburan orang-orang Islam di Kampung Lubuk Merbau iaitu bersebelahan dengan pusara isteri pertamanya Hajjah Khadijah bt. Mohd Edham. Namun pemergian beliau masih dikenang hingga kini, dan namanya sentiasa disebut oleh masyarakat Islam kini sama ada muda ataupun golongan tua. Ini kerana sumbangan yang besar dan terpenting yang disumbangkan oleh beliau yang mana telah menghasilkan Kamus al-Marbawi. Kamus ini terus dikenang dan digunakan oleh para pelajar dalam apa jua bentuk pengajian sama ada peringkat rendah mahupun tinggi dan dapat dilihat sehingga kini.

Dipetik daripada buku:

Budaya dan Pemikiran Islam, Mesir-Malaysia

Tajuk: Metodologi al-Marbawi dalam bidang tafsir al-Quran: Kajian terhadap kitab tafsir al-Marbawi juzuk alif lam mim

Ditulis oleh: Jawiah Dakir, Mazlan Ibrahim & Mohd Najib Abd. Kadir

10 May, 2009

Terkenang tanahairku


Selepas menelefon ayahanda dan bonda di tanahair, tiba-tiba hati ini benar-benar terkenangkan suasana halaman rumah, sekolah-sekolah dan INSANIAH tempat saya menadah ilmu dahulu. Semuanya telah melalui perubahan yang ketara dan drastik. Namun saya hanya mampu menghayatinya dengan pancaindera telinga sahaja dan tidak menyaksikannya dengan mata kepala sendiri. Perubahan tersebut termasuklah dari segi infrastruktur dan sistemnya. Jua segala-galanya.

Saya termenung sendirian, bagaimanakah perasaannya apabila pulang ke Malaysia nanti setelah lima tahun berada di perantauan? Apakah pula reaksi masyarakat mahupun kenalan-kenalan yang sudah lama tidak bersua muka? serta di manakah pula tempat saya menabur bakti nanti?

Apa pun, persoalan yang paling penting adalah; adakah saya telah betul-betul bersedia untuk berhadapan dengan masyarakat dengan ilmu yang masih 'kanak-kanak' di dalam dada? Adakah saya juga telah berubah daripada kurang berilmu kepada lebih berilmu? Daripada kurang matang menjadi lebih matang? Maka, persoalan-persoalan begini adalah muhasabah buat diri saya.

Saya yakin terdapat suatu jurang yang besar perbezaannya di antara teori dan amali. Dakwah di kalangan Azhari juga mempunyai cabarannya, apatah lagi di hadapan golongan yang barangkali tidak mengenal alif ba ta. Oleh itu, ilmu pengetahuan dan pengalaman amatlah diperlukan sebagai bekalan menghadapi hari mendatang.

ps: dakwahlah diri sendiri sebelum mendakwah orang lain